JENAZAH Mejar Mohd Zahir Armaya yang terbunuh terkena tembakan semasa gimik demonstrasi bersenjata di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pagi tadi akan dikebumikan di kampung isterinya di Perak malam ini, lapor BH Online.
Ayahnya, pelakon dan pengarah, AR Badul berkata jenazah anaknya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 7 malam ini sebelum dibawa ke Ipoh untuk dikebumikan malam nanti.
“Atas permintaan balunya, Allahyarham akan dikebumikan di kampung isterinya di Perak,” katanya, seperti dipetik BH Online.
Sementara itu, Badul juga dilaporkan reda dengan pemergian anaknya yang beliau anggap sebagai lelaki gagah berani yang meninggalkan bakti untuk pertiwi.
“Saya mendapat perkhabaran berita ini pagi tadi dan amat terkejut serta sedih. Namun saya menganggap ia satu ujian Allah,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Zahir, pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas, terbunuh selepas terkena tembakan semasa melakukan gimik demonstrasi pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia di Kem Lok Kawi.
Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu, Zahir yang berlakon sebagai pengganas terkena tembakan yang tersasar dari baju kalis peluru yang dipakainya.
Beliau diberikan bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital.
Tubuh pasukan siasatan
Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan turut mengesahkan akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu merakamkan simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Saya berharap keluarga kepada Allahyarham tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini.
“Saya juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham,” kata Mohamad dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menyifatkan pemergian Zahir sebagai kehilangan kepada tentera darat.
“Semoga keluarga redha dan sabar dengan ujian Allah swt dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid),” katanya.
Zahir meninggalkan lima anak berumur antara 9 tahun hingga 5 bulan. – 4 September Ogos, 2019.
Komen