TIADA kesan boikot dapat dilihat kerana orang ramai masih membeli keperluan harian keluaran bukan muslim, kata beberapa peruncit yang ditemui The Malaysian Insight.
Menurut peruncit ini, jualan produk berkenaan tidak terjejas walau timbul kempen di media sosial agar pengguna menjauhi produk keluaran bukan Islam
Beberapa pengusaha kedai ini berkata, hasil jualan mereka juga tidak terjejas malah pengguna tetap berkunjung seperti biasa.
Pengurus sebuah kedai pasar mini di Kampung Pandan, Hafiz Noorutheen, 19, berkata semua barangan terutama produk keluaran bukan muslim masih terjual dengan baik.
“Boikot tiada tapi orang datang ada cerita mengenainya. Tetapi orang beli macam biasa,” kata pengusaha itu di kedai yang beroperasi lebih sedekad lamanya itu.
Malah menurutnya barangan dengan jenama keluaran pengusaha muslim lebih banyak memenuhi pasaran berbanding jenama keluaran bukan muslim.
“Ada barang produk (keluaran syarikat milik) bukan Islam untuk keperluan harian. Ada barang muslim yang tiada dalam pasaran dan jadi dua-dua jenama boleh dijual. Tak wajar boikot,” katanya.
Beliau mengulas pengaruh kempen di media sosial yang menyeru pengguna menyokong produk keluaran pengusaha muslim dan boikot produk keluaran pengusaha bukan muslim.
Kebanyakan kumpulan di Facebook mempunyai jumlah pengikut yang banyak dan ia meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Antaranya Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia kini mencecah lebih sejuta ahli dan ia naik mendadak semenjak kempen boikot barang bukan muslim tersebar meluas.
Ahli kumpulan tersebut antara lain mempromosi produk tertentu keluaran pengusaha pengusaha muslim dan turut membuat perbandingan dengan mutu produk keluaran bukan muslim.

Peniaga mengutamakan barangan tempatan
Satu lagi kumpulan Facebook yang bergerak dengan nama Boikot Barang Cina DAP juga berjaya mengumpul puluhan ribu ahli.
Namun ia tetap tidak menjejaskan perniagaan mereka, kata dua lagi pengusaha kedai runcit di Kampung Pandan.
Samy, 49, yang mengusaha kedai runcit di kawasan yang dihuni majoriti penduduk Melayu itu percaya hasil jualannya tetap sama walau kempen berkenaan semakin galak di medan maya.
“OK saja. Semua orang datang,” katanya yang menambah beliau tidak pernah pilih kasih dalam menjual apa-apa barangan – sama ada keluaran pengusaha muslim atau bukan muslim.
“Orang datang macam biasa. Jualan juga macam biasa. Kita jual semua produk, (keluaran) muslim atau tidak muslim,” katanya Samy ketika ditemui di kedainya.
Begitu juga jirannya, Pon yang menguruskan kedai runcit berdekatan. Menurut pengurus kedai tersebut, jualan barangan tidak menjadi masalah kerana pengguna mengutamakan mutu.
Pon juga berkata beliau mengutamakan barangan tempatan di kedainya – tidak kira sama ada keluaran muslim atau tidak.
“Sama saja (jualan). Bagi saya kalau barang itu yang kualiti. Barang apa pun tiada masalah. Kalau boleh (barang) tempatan boleh la (jual) untuk sokong pengusaha tempatan.
“(Pengeluar) muslim atau tidak bukan isu,” katanya yang sudah lima tahun menguruskan kedai di Kampung Pandan.
Sebuah kedai roti popular di Mont Kiara juga memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak terjejas dengan kempen itu.
Penyelianya, Ovi, mengakui mereka prihatin dengan sentimen masyarakat Melayu-Islam yang banyak mengunjungi kedainya.
Katanya, mereka sanggup untuk menghentikan jualan minuman tidak halal untuk mengekalkan pelanggan muslim di kawasan tumpuan kelas pertengahan itu.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah muslim. Dan kita juga masak dan buat roti yang halal. Kalau sebelum ini kita ada jual arak tetapi sebab muslim tidak suka, kita pun tidak jual dah,” katanya.
Seorang peniaga ayam berempah di Bangi, Mohamad Jeffry Razelan juga berpandangan kempen boikot itu tidak diperlukan kerana pengguna perlu membeli mengikut keperluan.
Boikot itu sendiri tidak akan berjaya kerana ekonomi tidak dikuasai oleh orang Melayu dan Islam, katanya lagi.
“Ekonomi sekarang bukan muslim pegang, nak boikot pun tak boleh.(Boikot) tak perlu sangatlah. Kita ikut keperluan macam mana. (Ambil kira) kebersihan produk dia macam mana.
“Kalau produk dia bersih buat dalam kilang terjamin, kita yakin. OK lah,” katanya lagi.

Boikot beri kesan kepada masyarakat Islam
Sementara itu, beberapa pengguna yang ditemui The Malaysian Insight berkata berpendapat kempen boikot barang bukan muslim sebagai tidak wajar diadakan.
Pengguna ini juga berpendapat, masyarakat lebih mementingkan kebersihan dan halal ke atas sesebuah produk dan bukannya status agama atau keturunan pengusaha sesuatu produk.
Malah, kempen boikot itu juga akan memberikan kesan kepada masyarakat Islam kerana terutama pekerja di syarikat milik pengusaha bukan Islam, kata seorang pekerja swasta Effendy Yusof.
“Boikot produk bukan orang Melayu sebenarnya tak baik juga sebab saya tengok sendiri, pekerja orang Melayu muslim. Jadi kalau kita boikot dia, pekerja akan teraniya,” katanya.
Kempen boikot produk dan khidmat pengusaha bukan Islam itu mendapat perhatian serius kerajaan yang berpendapat kempen itu tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Kempen berkenaan pada awalnya dikesan sebagai promosi kepada pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan pengusaha Muslim.
Turut menjadi sasaran adalah produk tertentu, didakwa keluaran pengusaha bukan Islam, yang menggunakan tulisan jawi di label produk.
Kempen tersebut dikesan tular dalam kumpulan tertentu di media sosial apabila muncul penentangan ke atas pembelajaran jawi di sekolah.
Beberapa NGO yang menyokong kempen membeli barangan keluaran usahawan muslim itu termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Persatuan Pengguna Muslim Malaysia (PPIM).
Susulan kritikan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Ummah menjelaskan kempen itu tidak menolak produk bukan Islam tetapi hanya menyokong produk keluaran muslim.
PAS turut menyokong kempen berkenaan yang melalui kenyataan bekas timbalan ketua umala PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani dan setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan.
Dusuki dilaporkan berkata tindakan memboikot produk bukan Islam akan memberi pahala kepada pengguna. – 5 September, 2019.
Komen