TINDAKAN untuk memboikot barangan Cina tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution.
Katanya jika semua pihak mengambil pendekatan boikot maka akhirnya tidak akan ada sesiapa yang beli barangan.
Oleh itu beliau berkata boikot bukanlah jalan penyelasaian lebih-lebih lagi bagi negara yang ekonominya terbuka dengan rakyat berbilang kaum.
“Kalau ada satu pihak diundang untuk boikot nanti akan ada pihak yang mengundang pihak lain boikot, dan nanti siapa yang nak beli barang.
“Jadi saya tengok dalam konteks nasihat menasihati dan dalam konteks ekonomi terbuka dengan rakyat berbilang kaum.
“Kita saling bergantung satu sama lain dan cari jalan terbaik di mana kekuatan antara kita, manfaatkan mana kelemahan kita, dan perbaiki jalan bukan dengan boikot-memboikot,” katanya kepada media di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen boikot barangan Cina yang tular di media sosial.
Kempen tersebut juga disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro Melayu.
Perdana Menteri Dr Mahahthir Mohamad turut memberi reaksi menyatakan ia hanya dilakukan oleh mereka berfikiran cetek.
Saifuddin turut berkata beliau tidak menerima sebarang aduan daripada peniaga Cina yang mereka terkesan dengan kempen tersebut.
Katanya, umum perlu mengetahui banyak persatuan perniagaan tidak hanya terdiri daripada satu kaum semata-mana namun ia mewakili semua kaum.
“Kita tak dapat apa-apa maklum balas, atau peniaga Cina kata ia bagi kesan. Ia juga tak jejaskan harga pasaran.
“Saya berurusan dgn persatuan dan pertubuhan peruncitan macam biasa.
“Bahkan pertubuhan ini ada yang dianggotai pelbagai kaum mereka langsung tak ada jumpa saya bagitau kempen itu beri kesan,” katanya. – 2 September, 2019.
Komen