Kembalikan keunikan seni kuda kepang


Mahdzir Ibrahim

Kuda kepang diasaskan oleh tokoh-tokoh Islam ratusan tahun dahulu, yang ketika itu menggunakan kesenian ini untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat. – Gambar ihsan penulis, 11 Oktober, 2017.

SALAM sejahtera diucapkan kepada Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd Shahrin Rahmat.

Saya rasakan perlu menulis surat ini kepada tuan untuk menyampaikan maksud dan pandangan saya. Saya berharap, tuan dapat membaca surat ini dengan berlapang dada dan jiwa besar.

Saya difahamkan, tuan pengarah masih baharu di YWJ. Saya percaya tuan dipilih kerana memiliki kebolehan untuk menggalas tugas sebagai pengarah.

Saya kira, belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan tuan. Sebagai ketua, pastilah tuan seorang yang baik hati dan profesional.

YWJ satu-satunya organisasi yang kemas tersusun dengan agenda yang saya kira cukup baik. Penubuhannya bukan sekadar untuk meraikan kepelbagaian budaya dan identiti Bangsa Johor, tetapi untuk memastikan kebudayaan kita terus kekal dan dipulihara dengan satu sistem yang sempurna.

Sebagai seorang yang masih muda, pastinya sifat-sifat orang muda itu sentiasa mahu melakukan pembaharuan disamping mengekalkan prestasi organisasinya.

Justeru, saya memohon agar tuan dan rakan-rakan di YWJ untuk menyemak kembali peranan seni tradisi kuda kepang yang telah diharamkan pada Mei 2009.

Saranan saya ini bukanlah bertujuan untuk menongkah arus yakni menentang hukum agama. Tetapi, saranan saya ini adalah bertujuan untuk membersihkan pandangan buruk terhadap kesenian kuda kepang.

Sebagai manusia, apa-apa keputusan kita terhadap sesuatu perkara, terdedah dengan kekhilafan. Ini lumrah manusia biasa, tidak kira siapa pun kita.

Perkara magis yang dianggap khurafat dan sesat di dalam kuda kepang hanya berlaku selepas budaya Hindu dan Jawa diadun dan diserap masuk. – Gambar ihsan penulis, 11 Oktober, 2017.

Apatah lagi, kekhilafan ini berpunca dari kekurangan sumber rujukan yang barangkali agak terhad atau tidak lengkap.

Malah, kekhilafan ini juga boleh berpunca dari sikap yang cenderung ke arah suatu niat tertentu yang tidak dapat kita pastikan.

Pengetahuan saya tidak seluas pakar-pakar di YWJ, namun kita semua tahu latar sejarah seni budaya kuda kepang ini sangat unik dan tinggi nilai sejarahnya.

Seni tradisi ini wujud dari satu sejarah yang panjang dan berlapis-lapis. Penghayatan sejarah harus diambil kira dari sumber yang jernih dan adil.

Kuda kepang diasaskan oleh tokoh-tokoh Islam ratusan tahun dahulu, yang ketika itu menggunakan kesenian ini untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat.

Zaman itu, persembahan kuda kepang ini dapat menghimpunkan masyarakat di satu tempat dan masa. Inilah peluang yang digunakan untuk menyampaikan dakwah.

Dalam perkembangannya, perkara-perkara magis yang dianggap khurafat dan sesat di dalam kuda kepang ini hanya berlaku selepas budaya Hindu dan Jawa diadun dan diserap masuk ke dalam tarian kuda kepang ini. Maka selepas era inilah, seni tari kuda kepang berubah daripada tujuan asalnya.

Namun, pada hakikatnya kuda kepang itu sekadar tarian dengan iringan muzik yang bertujuan untuk memberi hiburan dan penghayatan estetika kepada penonton.

Tanpa magis dan mantra (pengaruh Hinduisme) dalam tarian kuda kepang, sememangnya berbeza tetapi ia masih boleh menghiburkan.

Dengan kelangsungan kesenian ini, pasti akan ada bakat-bakat baru yang akan meneruskan warisan ini, bermakna ia boleh memberi rezeki kepada penggiatnya.

Bagi saya, seni itu tidak punya sebarang dosa, hanya apabila kita sengaja memasukkan nilai-nilai kerohanian atau amalan daripada sumber yang bercampur baur, maka ia berubah daripada tujuan asalnya.

Ada banyak lagi contoh-contoh budaya kita yang mempunyai pengaruh Hindu yang boleh dilihat. Namun kita dapat menerimanya kerana unsur-unsur pemujaan itu tidak diamalkan seperti majlis persandingan pengantin.

Akhirnya, kebudayaan seumpama ini menjadi identiti yang unik dan penting dalam masyarakat kita.

Saya yakin dengan sumber dan keupayaan yang dimiliki oleh YWJ, tuan mampu untuk membuat kajian yang lebih komprehensif dan adil berkenaan dengan peranan seni budaya kuda kepang. – 11 Oktober, 2017.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen