Melayumofobia


Hasmi Hashim

PALING mudah membuli Melayu. Dalam banyak perkara pula. Daripada isu kedai dobi, OctoberFest, maahad tahfiz sehingga apa saja keburukan negara ini boleh dikaitkan dengan orang Melayu. Melayu menjadi kata-kata ejekan, terutama ketika kehampaan terhadap politik kekuasaan menyebar luas sekali.

Begitu juga ketika gesaan ketua menteri Pulau Pinang diberikan kepada pemimpin Melayu, maka dengan semberono dikatakan apalah ertinya diangkat pemimpin Melayu kalau Melayu itu Melayu jahat dan menindas. Lebih baik berketua-menterikan seperti sekarang, walaupun bukan seorang Melayu.

Dengan kata-kata itu, Melayu digambarkan hanya satu jenis. Perbandingan dibuat bukan antara seorang Melayu yang baik dengan bukan Melayu yang baik; tetapi Melayu yang jahat dengan bukan Melayu yang baik. Seakan-akan di Pulau Pinang itu sudah tak ada seorang pun pemimpin Melayu yang layak. Semuanya jahat-jahat!

Keadaan ini samalah seperti apa yang berlaku di Eropah atau pun Amerika Syarikat sejak lebih sedekad lalu. Di sana ada momokan yang kita dengar sebagai Islamofobia. Apa saja yang terkait dengan Islam adalah sesuatu yang buruk, sadis dan ngeri.

Islam hanya dikatakan sebagai pengganas. Muslim digambarkan hidup dalam keadaan yang seakan gelap-gelita di tengah gurun pasir dengan menjadikan perempuan sebagai abdi seks. Islam seakan tidak bertamadun sama sekali.

Islamofobia berlarutan lama. Menjadi bahan kempen politik. Kemenangan Donald Trump juga dikatakan berpunca daripada kempen di bawah, di banyak negeri dengan mengaitkan Barack Obama sebagai pro-Muslim. Muslim tidak lain hanyalah pendatang yang wajib dihindari atau dipukul di tepi jalan.

Bezanya di Eropah atau Amerika Syarikat, Muslim adalah minoriti. Sedangkan di Malaysia, Melayu-Muslim itu majoriti. Maknanya ada jalan singkat oleh sesiapa pun mereka yang tak habis-habis meletakkan wajah orang Melayu dengan cat hitam.

Semua kemampuan Melayu dibenam dalam-dalam. Disorok diam-diam. Kejayaan yang dicipta oleh usahawan Melayu, tak mahu disebutkan sebagai kejayaan seorang Melayu.

Paling tidak pun hanya disebut sebagai kejayaan seorang usahawan sahaja. Sementara di satu sudut lain, kelompok ultra Melayu yang tak mewakili majoriti Melayu pun diangkat sebagai bahan berita tak putus-putus.

Majoriti Melayu yang waras tak diangkat. Majoriti Melayu yang bertolak ansur dengan kaum lain tidak dipandang mulia. Apa yang selalu dipermasalahkan adalah setitik susu di belanga – sedangkan dalam bangsa apa pun, pasti wujud satu-dua orang atau kumpulan yang tetap mendatangkan masalah.

Paling payah untuk difahami ialah sifat menutup mata daripada melihat realiti itu dilakukan oleh parti politik yang sewajarnya memancing undi Melayu untuk menang. Ringkasnya turut dilakukan dalam kalangan pemimpin parti pembangkang atau simpatisan mereka. Apakah yang tak kena?

Ada satu istilah pada 1990-an yang cukup membuatkan anak muda menjarakkan diri dari Umno iaitu “totok Umno”. Pada era itu, totok Umno merujuk kepada orang yang tak rasional dalam pertimbangannya. Apa saja yang dilakukan partinya, maka dianggap baik dan maha hebat belaka. Walaupun jelas-jelas ia buruk kepada bangsa dan negara.

Waktu itu tak ada istilah totok pembangkang, atau misalnya “totok Reformasi”. Gelombang Reformasi 1998 menjadikan anak muda bukan saja lebih kritis, tetapi juga beransur-ansur waras dalam membuat pertimbangan. Segala berita yang bermain di media besar selalunya akan ditimbang-timbang balik. Tidak terus dipercayai dan dipakai bulat-bulat.

Keadaan jadi jauh berbeza pada hari ini. Golongan “totokan” sudah wujud di mana-mana. Golongan ini sama saja sepertimana yang wujud dalam Umno dulu iaitu manusia yang tak rasional. Tidak ada pertimbangan apa-apa lagi kecuali buru-buru menyokong apa saja yang menjadi kebiasaannya pandangan pemimpin parti mereka.

Apabila datang sesuatu yang “luar biasa” sedikit, atau pandangan baharu, menjadi sangat susah diterima. Kadang-kala tak boleh dihadam sedikit pun. Mereka lebih senang dengan hanya melaungkan slogan yang tak difahami maknanya. Di dada menyala api marah-marah dan kebencian yang hampir tidak ketahuan punca.

Hari ini ketotokan nampaknya bukan hanya di satu pihak. Sehinggalah parti-parti dengan cepatnya terlupa, berapa ramai pun totok yang mereka boleh bariskan, majoriti masyarakat termasuk orang Melayu tetap masih punya kewarasan. Biar berapi pun ucapan, mereka tidak boleh membunuh akal-budi yang tenang, bertimbang rasa dan menjadikan fakta sebagai neraca. – 11 Oktober, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen