POLIS menyelesaikan siasatan terhadap kumpulan pendidikan Cina Dong Zong yang membantah pelan untuk pembelajaran seni khat dan Jawi bagi murid Tahun Empat di sekolah jenis kebangsaan Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya sudah merakamkan keterangan daripada pengerusi NGO itu Tan Tai Kim dan setiausahanya selain Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
“Berhubung isu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai rasis, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan kini menunggu arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dengan niat melakukan provokasi bagi menggugat keamanan.
Pada Ogos lalu, Dr Mahathir melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana menentang usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan apabila NGO itu menolak seni khat dan Jawi diajar di sekolah vernakular.
Beliau berkata kumpulan itu sebelum ini menentang sistem pendidikan negara untuk menyatukan pelajar dari semua bangsa di sekolah aliran kebangsaan.
Dong Zong melancarkan petisyen bagi membantah pembelajaran itu walaupun Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa silibus itu tidak akan menjadi subjek peperiksaan.
Sebelum ini, Tan berkata petisyen itu bertujuan menggesa Kementerian Pendidikan mengekalkan silibus pengenalan khat serta tulisan Tamil dan Cina bagi silibu Bahasa Malaysia Murid Tahun Lima. – 2 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen