Bekas kakitangan Utusan tubuh badan bertindak tuntut pampasan VSS


SM Amin

Sebahagian kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad yang mengadakan tunjuk perasaan di pejabat syarikat itu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2019.

BEKAS kakitangan Utusan Melayu Berhad yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) menubuhkan sebuah badan bertindak untuk memperjuangkan hak mereka ke atas pampasan yang sehingga ini belum diselesaikan oleh syarikat.

Badan Bertindak VSS Bekas Kakitangan Utusan (BBV) itu dipengerusikan bekas Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Zaini Hassan dan turut dianggotai seorang setiausaha, seorang bendahari dan tiga orang ahli jawatankuasa.

Zaini ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata, badan bertindak itu ditubuhkan bagi memastikan nasib bekas kakitangan Utusan dibela secara profesional.

Melalui badan itu, mereka akan melantik peguam untuk menjaga kepentingan bekas kakitangan dalam setiap rundingan dengan Utusan.

“Apa yang kita buat ialah kita melantik seorang peguam untuk memastikan bahawa setiap perundingan yang berlaku itu akan disertai oleh peguam.

“Ini bagi memastikan setiap perundingan itu ditangani secara profesional dan kita tidak mahu jadi apa-apa nanti, baru hendak cari peguam,” katanya.

Zaini turut mempelawa semua bekas kakitangan Utusan yang mengambil VSS untuk menyertai badan itu demi kepentingan bersama.

“Setakat ini ada lebih 100 orang yang bersama dengan kita. Kita jalan dulu dengan kumpulan ini. Mungkin ramai yang akan masuk kemudian” katanya.

Pemegang amanah skim pemberhentian sukarela (VSS) Kumpulan Utusan Melayu Berhad dikehendaki memberi laporan lengkap kepada Kementerian Sumber Manusia isu kelewatan pembayaran pampasan yang ditetapkan mengikut perjanjian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

Sementara itu, peguam yang dilantik oleh badan bertindak itu yang dihubungi The Malaysian Insight berkata beliau akan berbincang langkah seterusnya dengan wakil kakitangan terlibat minggu depan.

Pada akhir tahun lalu, hampir 800 kakitangan berhenti secara sukarela dengan pampasan yang dipersetujui akan dibayar oleh syarikat secara ansuran dalam tempoh 12 bulan, berakhir November ini.

Bagaimanapun bayaran pampasan itu tertangguh berkali-kali sejak pembayaran pertama. The Malaysian Insight difahamkan pampasan itu dibayar kali terakhir pada 10 Julai lepas, untuk sebahagian ansuran bagi Jun.

Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir sebelum ini berkata syarikat yang pernah dikuasai Umno itu sekarang tidak cukup dana untuk melunaskan pembayaran pampasan VSS kerana belum dapat wang daripada pihak yang membeli aset syarikat.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak pula mendedahkan Utusan gagal menjual asetnya antara lain kerana sesetengah bangunan itu tidak memiliki sijil layak menduduki.

Selain pampasan bekas kakitangan, Utusan juga berdepan masalah membayar gaji kakitangannya baru-baru ini sehingga memaksa kesatuan sekerja yang mewakili wartawan menganjurkan piket pada 19 Ogos lalu, menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan.

Kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad berdepan masalah gaji yang tertunggak sejak Jun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019

Pihak pengurusan Utusan, yang berdepan kerugian sehingga RM3 juta sebulan, bagaimanapun tidak mengambil keputusan menghentikan operasi cetak akhbarnya seperti yang digembar-gemburkan.

Ia sebaliknya menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen, antara lain untuk menampung kos operasi.

Umno kemudiannya menyumbang sebanyak RM1.6 juta bagi membantu Utusan, setelah mendapat suntikan dana daripada “rakan-rakan parti”. 

Sehari selepas piket, Utusan membayar sebahagian gaji dan pampasan yang tertunggak sejak Jun iaitu RM2,000 bagi kakitangan dan RM1,000 bagi bekas kakitangan yang mengambil VSS.

Pada Jumaat lalu, Utusan dikeluarkan dari Bursa Malaysia selepas disenaraikan selama 25 tahun sejak 1994. 

Tindakan diambil selepas Utusan gagal membetulkan kedudukan kewangan setelah diberi status PN17, atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan, susulan hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank

Utusan dimiliki oleh Abd Aziz sebagai pemegang saham majoriti melalui syarikatnya Opulence Asia Sdn Bhd. Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu membeli pegangan saham Umno sebanyak 31.6% pada Februari lalu.

Pada Julai pula, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%. – 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen