Kassim Ahmad selamat dikebumikan


Looi Sue-Chern

Keluarga dan sahabat handai memberikan penghormatan terakhir kepada Kassim pada majlis pengebumian di Kulim, Kedah selepas Maghrib tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Shaiful Azre Allias, 10 Oktober, 2017.

CENDEKIAWAN ulung Melayu dan penulis terkenal Allahyarham Dr Kassim Ahmad selamat dikebumikan sebentar tadi di Kulim.

Beliau dikebumikan selepas solat Maghrib sekitar jam 7.30 malam tadi di Perkuburan Masjid al-Huda di Kilang Lama, Kulim.

Isteri, dua anaknya serta cucu-cucunya berada bersamanya sehingga saat terakhir melepaskan jenazah. Anak perempuan kedua Kassim yang tinggal di Perancis tidak sempat pulang melihat jenazah.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir adalah sanak saudara, sahabat handai dan mereka yang menghargai tokoh terkenal itu.

Antara mereka yang hadir ialah kawan lama Kassim, Ketua Biskop Emeritus, Murphy Pakiam yang tiba sebelum solat dan melawat sehingga upacara pengebumian berakhir.

“Dia adalah orang yang sangat berfikiran terbuka untuk komitmen sosial masyarakat. Dia adalah orang berterus terang.

“Dan dia juga adalah ayah yang penyayang dan jiran yang baik,” kata pemimpin Gereja Katolik itu.

Pakiam berkata mendiang ayahnya berjiran dengan keluarga Kassim ketika mereka tinggal di Jalan Bunga Raya, Bukit Gelugor, Pulau Pinang lama dahulu.

“Saya kenal Kassim dan keluarganya bertahun lamanya, sejak anak lelakinya Ahmad Shauqi (kini berusia 50 tahun) masih lagi budak lelaki yang nakal,” katanya.

Pakiam mengatakan ketika Kassim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976, ayahnya membawa anak-anak Kassim ke Kamunting untuk melawatnya.

Persahabatan lama mereka itu terus kekal dan mereka kerap melawat satu sama lain.

“Saya selalu datang melawatnya di Kulim dalam perjalanan saya ke Pulau Pinang untuk melawat adik beradik saya,” katanya.

Dr Syed Husin Ali, bekas timbalan presiden PKR, aktivis dan penulis yang turut menghadiri pengebumian Kassim berkata dia kehilangan seorang sahabat baik dan masyarakat kehilangan seorang tokoh penting.

Katanya, walaupun kontroversi melanda kehidupan Kassim, sumbangannya dalam pengetahuan agama tidak dapat dinafikan.

“Dia aktif dalam aktiviti sosialis sejak menjadi pelajar lagi.

“Dia berubah sedikit selepas ditahan ISA. Dia kemudian beralih kepada agama,” kata Syed Husin.

Syed Husin juga ditahan di bawah ISA bersama Kassim tetapi dibebaskan setahun awal.

Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader dan aktivis Adam Adli Abdul Halim.

Selepas upacara pengebumian itu selesai dilakukan, Shauqi mengucapkan terima kasih kepada masjid dan kariah kerana kerjasama dan terlibat menguruskan pengebumian ayahnya.

Walaupun masih bergelut untuk menerima hakikat pemergian ayahnya, dia percaya yang Kassim kini berada di tempat yang lebih baik.

Kassim, 84, meninggal dunia pada jam 10 pagi hari ini di Hospital Kulim, Kedah selepas koma semalam.

Beliau dimasukkan ke hospital pada 16 September lalu kerana masalah pernafasan. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen