Pesalah pedofilia jalani kaunseling, kata UKM


Selain pakar dalaman, pemerhatian juga turut dilakukan melalui kerjasama dengan keluarga Nur Fitri, selain agensi berkaitan dan polis, kata Universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2019.

NUR Fitri Azmeer Nordin, yang pernah disabitkan kesalahan memiliki lebih 30,000 gambar dan video pornografi kanak-kanak, telah dirujuk ke hospital untuk penilaian psikiatri, kata Universiti Kebangsaan Malaysia susulan bantahan terhadapnya bagi meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Dalam satu kenyataan, UKM berkata jabatan kaunseling telah merujuk Nur Fitri ke jabatan psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Katanya, kaunseling itu adalah bagi membolehkan pelajar tersebut memperbaiki diri dari segi kesejahteraan psikologi.

“Antara langkah-langkah yang diambil adalah pemantauan secara berterusan dan berkala oleh pihak Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti,” kata UKM dalam satu kenyataan.

Selain pakar dalaman, pemerhatian juga turut dilakukan melalui kerjasama dengan keluarga Nur Fitri, selain agensi berkaitan dan polis, kata Universiti.

“Sepanjang pengajian di UKM, fakulti dan penyelia akan terus memantau aktiviti akademik pelajar. Selain bantuan kepakaran dalaman, UKM turut bekerjasama dengan keluarga dan agensi berkaitan dalam memantau keadaan pelajar,”

UKM sebelum ini mempertahankan keputusannya untuk menerima Nur Fitri dan berkata bahawa pelajar berusia 27 tahun itu telah menerima hukumannya dan perlu diberi peluang kedua.

Pada bulan Mei 2015, Nur Fitri, yang belajar di Imperial College, United Kingdom, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Crown Southwark di London selepas mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Nur Fitri kemudian diekstradisi ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga dilaporkan mempertahankan Nur Fitri dan berkata namanya tidak disenaraikan dalam pendaftaran pedofilia yang disabitkan di negara ini kerana dia disabitkan kesalahan pada tahun 2015.

Beliau berkata perkara tersebut penting kerana hakikatnya daftar itu menyenaraikan mereka yang telah disabitkan sejak 2017 dan tahun seterusnya, dan terdapat juga kelemahan lain yang memerlukan penambahbaikan.

“Ada dua sisi cerita. Dia sudah menerima hukumannya atau sebahagiannya ... Adakah kita mahu menghukumnya seumur hidup? ... Pada masa yang sama kita juga mahu menjaga anak-anak kita supaya selamat, jadi kita perlu seimbang,” katanya. – 31 Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen