Pesalah pedofilia diterima belajar kerana genius, kata UKM


PESALAH pedofilia, Nur Fitri Azmeer Nordin diterima kerana seorang yang genius dan cemerlang dalam pengajian, kata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

UKM menerusi kenyataannya yang dipetik Utusan Malaysia menyebut, Nur Fitri menjadi pelajar di universiti itu sejak 2016 bagi pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

“Berkenaan dengan pelajar, Nur Fitri Azmeer Nordin, beliau kini adalah pelajar UKM yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

“Beliau mula mendaftar sebagai pelajar UKM semenjak tahun 2016 lagi bagi program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” kata universiti itu seperti dipetik Utusan.

Jelas UKM keputusan menerima pesalah pedofil itu juga dibuat selepas mengambil kira dan menilai pelbagai pandangan.

Satu kenyataan UKM yang dipetik portal Sinar Harian pula menyebut tindakan itu bagi memberi peluang kedua kepada Nur Fitri.

“UKM juga jelas dan faham dengan sabitan kesalahan serta hukuman lepas yang telah dikenakan kepada beliau sebelum ini.

“Sepanjang pengajiannya di sini, beliau amat komited dalam pengajian dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan.

“UKM juga tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai beliau sepanjang pengajian di UKM,” lapor portal itu yang memetik kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM.

Sementara itu laporan Free Malaysia Today yang memetik kenyataan seorang profesor UKM pula menyebut Nur Fitri seorang pelajar cemerlang yang menamatkan pelajaran peringkat Masters dalam hanya satu tahun.

Dengan itu, senat UKM meluluskan penukaran kursusnya kepada peringkat PhD, kata profesor itu yang menganggap Nur Fitri sebagai salah seorang daripada 5% genius matematik.

Tindakan UKM menerima pesalah yang menjalani hukuman penjara lima tahun di United Kingdom itu menerima pelbagai kecaman di media sosial.

Bekas pelajar Imperial College, United Kingdom itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah London kerana didapati memiliki lebih 30,000 video dan gambar lucah kanak-kanak.

Ia termasuk 601 imej “Kategori A” yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur yang ditemui dalam peralatan elektronik bekas penerima biasiswa Mara itu. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen