Ninavau: Pelukan kasih dari Sabah


Daniyal Kadir

TUMPUAN sinema Malaysia banyak terarah kepada kisah dari Semenanjung.

Jarang kita lihat cerita rakan-rakan di Sabah dan Sarawak mengisi panggung. Seolah-olah berlaku pemisahan dan jurang yang kita tidak tahu datang dari mana.

Penonjolan kebudayaan yang dominan di sebelah pihak seperti ini tidaklah sihat untuk jangka panjang.

Malaysia sebuah negara yang berdiri atas pasak kepelbagaian. Kita bukan sebuah negara satu aliran, namun wujud rencam kebudayaan untuk kita teliti dan perhalusi.

Lebih menyakitkan kadangkala kisah-kisah dari Sabah dan Sarawak dibikin oleh mereka yang tidak benar-benar memahami kebudayaan dan kehidupan masyarakat di sana.

Bukan sahaja dari aspek cerita dan kebudayaan, malah Sabah dan Sarawak juga sebenarnya memiliki kelompok pembikin filem beraspirasi tinggi mahu mengangkat sinema Malaysia bersama-sama.

Apa salahnya ruang yang wajar diberikan supaya sinema kita kelihatan lebih megah dan indah pada mata semua.

Penerokaan kebudayaan menjadi aspek penting dalam kita melihat masyarakat. Sehingga kini, Sabah dan Sarawak yang ditampilkan di kaca televisyen atau layar hanya sebuah tempelan yang seperti sudah disiapkan.

Ia membuatkan kita seperti membaca buku teks. Tiada kedalaman, tiada pemahaman jujur dan hanya tertumpu kepada hal-hal cetek yang tidak menduga apa-apa pun.

Ini ruang yang tidak mencabar, malah memberikan perasaan suram terhadap pemahaman sinema kita mengenai Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton Ninavau, sebuah filem pendek yang diarahkan oleh pembikin filem dari Sabah, Bebbra Mailin. Filem ini diterbitkan oleh Telan Bulan Films dengan Nadira Ilana bertindak sebagai penerbit.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa ini antara filem terbaik tempatan untuk tahun ini.

Walaupun ia sebuah filem pendek, namun lakon layar dan gaya pengarahan Bebbra berkualiti. Beliau pengarah wanita muda yang harus kita berikan ruang dan peluang sewajarnya.

Jika kita mencari-cari pengarah yang mempunyai keupayaan membikin filem kemanusiaan dengan sentuhan menarik serta memiliki pemahaman mengenai kemelut masyarakat yang disentuhnya, maka Bebbra wajib masuk dalam senarai itu.

Ninavau menyentuh mengenai hubungan silang agama dalam sebuah keluarga Kristian di Sabah.

Ia memaparkan tentang keresahan dan kejujuran serta bagaimana seorang anak mahu menyampaikan tindakannya untuk tidak melukai perasaan seorang bapa.

Bebbra membuka filemnya dengan pemaparan bayangan pada cermin melihatkan kemesraan bapa menyambut kepulangan anaknya di tempat letak kereta di lapangan terbang.

Pelukan dan rindu seorang bapa terpancar pada bayangan di cermin. Babak ini menarik kerana memberikan kita perasaan sunyi dan dalam diam-diam membuatkan kita memikirkan soal rahsia.

Psikologi kedua-dua watak berkenaan dibingkaikan dengan baik dalam cermin itu.

Dalam pembukaan sahaja, Bebbra sudah mendedahkan tentang niat filem itu. Saya melihat beliau mempunyai pemahaman yang baik tentang bagaimana sesebuah opening scene berfungsi.

Membuka filem dengan sebuah pertanyaan dan menjawabnya satu-persatu dalam babak-babak berikutnya merupakan kebijaksanaan yang wajar dipuji.

Ia sebuah perjalanan yang bergerak baik dan memberikan kita kesempatan memahami psikologi pada watak dan babak.

Apa yang lebih menarik ialah Ninavau merungkai satu daripada seribu persoalan masyarakat yang sering berlaku di Sabah.

Bebbra memberikan kita sebuah toleransi, sebuah interaksi sosial bagaimana sewajarnya perbezaan itu ditangani.

Ninavau ditutup dengan makna harapan dan ia harapan yang baik, yang memperlihatkan watak Ninavau memulakan harinya dengan sesuatu yang lebih baru dan segar.

Ini dipaparkan melalui siraman pohon bunga dan cahaya matahari. Memberikan kita sebuah kelegaan tentang bagaimana toleransi dan kepercayaan wujud dalam keluarga ini.

Visual yang berdiri teguh akan mendukung filem hingga ke akhirnya.

Di Sabah dan Sarawak ada lebih seribu lagi pembikin filem yang bercita-cita tinggi dan memiliki pengetahuan dan keupayaan pembikinan yang baik seperti yang dibikin Bebbra dalam Ninavau.

Apa yang mereka perlukan ialah peluang dan ruang untuk menerokai sinema.

Kita sudah terlalu penat menonton kecetekan dalam pemaparan Sabah dan Sarawak di layar kita.

Sekarang, tiba masanya untuk pembikin seperti Bebbra dan yang lain-lain diberikan kesempatan lebih besar.

Amat diyakini mereka akan membawa nama Malaysia dan mengharumkannya melalui filem-filem berkualiti seperti Ninavau.

Dana yang ada, wang yang tersimpan harus dilaburkan kepada orang-orang tepat seperti ini, bukannya mereka yang gemar membikin filem patriotik songsang yang kosong dan berpura-pura.

Ninavau sedang merayau-rayau di festival filem antarabangsa. Kita doakan yang terbaik buat mereka dan semoga lebih banyak filem dan lebih banyak kejayaan mampu terbit dari sinar ini. – 31 Ogos, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen