Syed Saddiq bergambar bersama Zakir Naik, gesa rakyat Malaysia teruskan hidup


Syed Saddiq memuat naik empat gambarnya bersama Zakir di sebuah rumah termasuk gambarnya makan bersama pendakwah itu dengan beberapa individu lain.– Gambar Twitter, 24 Ogos, 2019.

DR Zakir Naik sudah meminta maaf dan rakyat Malaysia perlu teruskan kehidupan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Tidak ada seorang pun yang bebas dari melakukan kesilapan. Dr Zakir Naik sudah minta maaf. Saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur.

“Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Mari teruskan hidup. Negara ini perlu diperbaiki!,” tulisnya dalam Twitter dengan gambarnya bersama Zakir.

Syed Saddiq memuat naik empat gambarnya bersama Zakir di sebuah rumah termasuk gambarnya makan bersama pendakwah itu dengan beberapa individu lain.

Pada 20 Ogos lalu, Zakir memohon maaf terhadap kenyataannya yang menyinggung orang bukan Islam, susulan kekecohan yang tercetus di Malaysia berhubung ucapan dibuat di Kota Baru, Kelantan, dua minggu lalu.

Permohonan maafnya pagi ini dibuat beberapa jam selepas sesi panjangnya bersama pihak polis di Bukit Aman dengan diberi amaran agar tidak mengadakan sebarang ceramah atau berucap di mana-mana tempat di negara ini.

Zakir disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan Zakir serta dan beberapa saksi berkaitan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Siasatan kes isu Zakir hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut, katanya sambil memberitahu sebanyak 515 laporan diterima berhubung isu itu

Zakir didakwa menghina penganut Hindu dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini.
 
Pendakwah itu juga didakwa menghina masyarakat Cina apabila membalas desakan yang mahu beliau dihantar pulang ke India.

Zakir berkata ‘tetamu lama’ seperti masyarakat Cina perlu pulang terlebih dahulu.

Susulan kenyataan Zakir terhadap masyarakat Cina, Syed Saddiq antara menteri yang bersetuju agar pendakwah itu dihantar pulang.

“Ia mengarut untuk memikirkan rakyat Malaysia yang lain adalah ‘tetamu’. Mereka adalah keluarga saya. Cukup-cukuplah.

“Kekuatan Malaysia adalah kesatuan rakyatnya. Cukuplah perlekehkan kesatuan dan kesetiaan kita,” katanya sebelum ini. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen