Zakir Naik mohon maaf selepas polis larang beri ceramah


Pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik menafikan dirinya rasis, sebaliknya seorang yang cintakan kedamaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

ZAKIR Naik hari ini memohon maaf terhadap kenyataannya yang menyinggung orang bukan Islam, susulan kekecohan yang tercetus di Malaysia berhubung ucapan dibuat di Kota Baru, Kelantan, dua minggu lalu.

Permohonan maafnya pagi ini dibuat beberapa jam selepas sesi panjangnya bersama pihak polis di Bukit Aman dengan diberi amaran agar tidak mengadakan sebarang ceramah atau berucap di mana-mana tempat di negara ini.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Asmawati Ahmad mengesahkan arahan itu, larangan berucap yang dikeluarkan demi kepentingan keselamatan negara.

Dalam permohonan maaf yang dikeluarkan melalui satu kenyataan, pendakwah kelahiran Mumbai yang kontroversi itu berkata beliau bukan seorang rasis sebaliknya individu yang cintakan kedamaian.

“Walaupun sudah memberi penjelasan, saya rasa masih perlu meminta maaf kepada semua orang yang tersinggung kerana salah faham ini. Saya tidak mahu sesiapapun menyimpan perasaan benci terhadap saya.

“Saya tidak pernah berniat menyinggung mana-mana individu atau masyarakat. Ia bertentangan dengan prinsip asas Islam, dan saya ingin memohon maaf atas salah faham ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas beliau selesai memberi kenyataan kepada polis malam tadi.

Zakir disoal buat kali kedua semalam berkaitan kenyataan dibuat di Kota Baru, Kelantan, dua minggu lalu. Kali pertama beliau dipanggil oleh polis pada Jumaat berhubung perkara yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata polis mula merakam kenyataannya pada pukul 3.15 petang, sambil menambah Zakir disertai oleh peguamnya.

Zakir berdepan tindakan undang-undang berhubung ucapannya di Kota Baru yang didakwa menghina rakyat Malaysia beragama Hindu dan kaum Cina.

Beliau mendakwa berkata penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau seterusnya mengatakan jika terpaksa pulang ke India, seperti yang dituntut oleh beberapa rakyat Malaysia, maka orang Cina di Malaysia, yang dia panggil “tetamu lama”, juga harus “kembali” ke negara asal mereka. – 20 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen