Pengecualian dasar kabotaj di Sabah gagal, kata timbalan ketua menteri


Jason Santos

Dalam tempoh setahun pengecualian dasar kabotaj dilaksanakan, jumlah kemasukan kargo asing menunjukkan penurunan, kata Wilfred Madius Tangau. – Gambar Lembaga Pelabuhan Sabah, 24 Ogos, 2019.

PENGECUALIAN dasar kabotaj yang dinikmati Sabah untuk mengurangkan harga barangan di negeri itu, tidak menghasilkan keputusan yang diinginkan, kata Wilfred Madius Tangau.

Timbalan ketua menteri itu berkata berdasarkan rekod Lembaga Perkapalan Sabah, jumlah kemasukan terus kapal kargo asing menurun 3,778 pada 2017 kepada 3,280 pada 2018.

“Dianggarkan, tempoh setahun sejak pengecualian itu, jumlah kemasukan terus ke Sabah tidak seperti yang kita jangkakan,” katanya pada satu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun terdapat peningkatan jumlah muatan TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) yang dikendalikan oleh Sabah Ports.

“Pada 2017, jumlah TEU yang dikendalikan adalah 353,155 dan meningkat kepada 386,789 pada 2018,” katanya.

Beliau sedia maklum bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia dijangka menjalankan kajian selama enam bulan pada November ini untuk memahami kesan pengecualian dasar kabotaj.

Pengecualian dasar itu untuk Sabah dan Sarawak dilaksanakan bermula 1 Jun 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pengecualian itu dibuat susulan aduan pemain industri bahawa dasar itu menjadi punca kenaikan kos harga barangan import sehingga 30% di Sabah berbanding Semenanjung Malaysia.

Persekutuan Industri Sabah (FSI) turut menyalahkan larangan terhadap kapal kargo asing untuk mengambil barangan dari negeri itu menyebabkan jumlah eksport barangan Sabah menurun dan ini membuatkan pelabur berfikir dua kali sebelum melabur di negeri itu.

Menurut Tangau, sejak pengecualian dilaksanakan, tiada kapal asing berdaftar di pelabuhan-pelabuhan Sabah walaupun negeri itu berada pada kedudukan strategik dalam laluan perdagangan China.

“FSI masih berbicara tentang dasar kabotaj. Mereka memberitahu saya untuk membatalkan dasar itu. Semua pihak menyalahkan dasar itu yang menjadi puna tiada pelaburan yang mencukupi masuk ke negeri ini.

“Kini sudah dua tahun. Sehingga hari ini, tiada kapal kargo asing yang mendaftar di Pelabuhan Teluk Sepanggar. Jadi apa maksudnya ini?

“Ini bermaksud dasar kabotaj bukan punca mereka tidak datang ke sini,” katanya. – 24 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen