Mencari kebenaran filem patriotik


Daniyal Kadir

OGOS sudah kita jejaki dan kurang dari seminggu kita bakal meraikan tarikh keramat 31 Ogos 2019. Sepanjang Ogos dan September kita akan melihat pelbagai kandungan cintakan negara memenuhi ruang televisyen dan kemungkinan panggung wayang di seluruh negara. 

Pada waktu ini, kita lihat bendera Malaysia muncul di mana-mana, lagu-lagu patriotik malar segar memenuhi ruang pusat membeli-belah. Kita dapat merasakan ia satu hari yang besar, hari kemerdekaan atau hari kebangsaan.

Setiap kali tiba bulan ini televisyen pasti akan memutarkan kembali filem-filem yang mengungkap sejarah seperti Bukit Kepong arahan Jins Shamsudin atau Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba. 

Dua filem ini menjadi seperti filem wajib untuk diputarkan apabila 31 Ogos menjelang. Namun di sebalik keghairahan untuk menonton filem-filem ini berulang-ulang kali, kepudaran juga datang pada masa sama.

Ia datang dalam bentuk persoalan, apakah kalau mahu bercakap tentang mencintai negara kita harus hanya bercakap dalam soal patriotik politik semata-mata atau menilai dari aspek kejadian-kejadian perjuangan tokoh sahaja? 

Ia bukan satu penafian tentang kepentingan merakam peristiwa atau tokoh atau perjuangan mana-mana kelompok dan golongan, namun persoalan lebih besar ialah adakah sejarah kita dalam bingkai filem hanya setakat itu sahaja?

Satu perkara penting yang wajar diambil kira ialah bagaimana kajian mendalam adalah sesuatu yang bermakna dalam membikin karya-karya berkaitan perang dan sejarah.

Ini satu hal yang kita kurang dan tidak diberikan perhatian penuh. Sewajarnya aspek kajian ini menjadi titik pertama dalam kita menghasilkan sesebuah filem. Ia bukan sahaja untuk memberikan gambaran sebenar, namun untuk memberikan visual yang mengasyikkan. 

Satu lagi hal yang dilihat tempang dalam filem jenis ini untuk kita ialah kita tidak mahu memecahkan cerita dengan baik. Misalnya kisah tentang pejuang hebat seperti Kanang Anak Langkau. Beliau memiliki pelbagai pengalaman menarik dan mencabar untuk diceritakan. 

Namun disebabkan kita cuba menjadi ‘besar’ kita cuba membikin filem tentang beliau dalam skala yang besar, namun kita sedar nilai produksi yang kita ada, kecil dan tidak mampu membikin filem sebesar itu.

Untuk itu, jadilah ia sebuah filem besar yang tidak membesar dan tidak memberikan ruang yang baik untuk berkembang menjadi filem yang kuat. 

Apa kata selain daripada membikin filem tentang sejarah hidup Kanang dari beliau kecil hingga besar, lebih wajar sebenarnya untuk kita memilih satu perjuangan atau perang yang pernah melibatkan Kanang dan perang itu sahaja difilemkan.

Ia akan memberikan kekuatan lebih baik kerana titik permulaan filemnya sudah berfokus dan sudah tentu ia menjadi lebih kukuh dan kemas. Ia juga akan lebih mesra dari sudut nilai produksi dan kelihatan cermat apabila ditonton. 

Apabila menghasilkan filem untuk tokoh-tokoh penting, kita harus menghormati tokoh berkenaan dan membikin filemnya dengan sebaik-baiknya.

Satu lagi isu yang dapat dilihat dalam filem-filem patriotik di Malaysia ini ialah tentang kepayahan untuk berjauhan dengan propaganda politik. Ini sesuatu yang agak bosan sebenarnya. 

Penumpuan yang kuat terhadap tokoh politik akan membawakan kita dekat dengan propaganda dan mengaburkan jalur cintakan negara dengan cintakan perjuangan politik tertentu. Kita tidak pasti sampai bila penamatnya untuk filem-filem patriotik seperti ini akan berhenti.

Namun dalam kepayahan kita mencari filem-filem patriotik kuat di Malaysia, muncul filem seperti Ola Bola yang memberikan makna lebih baik untuk menghargai perasaan cinta kepada negara. Menggunakan sukan bola sepak dan mencampurkan dengan kejadian semi-fiction Kelayakan Olimpik Moscow 1980, Ola Bola menjadi yang terbaik dalam melihat patriotik melalui filem.

Malah tidak keterlaluan untuk kita sifatkan Ola Bola sebagai filem patriotik terbaik yang kita ada. Ia sebuah pengalaman menyeronokkan dan kita dapat merasai keindahan menjadi rakyat Malaysia di dalamnya. 

Melihat masyarakat dan mengetahui tentang realisme sesebuah kehidupan juga satu hal penting yang wajar diberikan perhatian dalam setiap pembikinan filem-filem yang cuba menyerap masuk hal-hal patriotik. 

Jagat walaupun bukan sebuah filem patriotik, namun ia filem yang membangkitkan kesedaran mengenai keresahan kehidupan sesetengah golongan yang kelihatan terpinggir di Malaysia.

Pendekatan seperti ini juga adalah lebih baik dalam memberikan rasa cinta kepada negara melalui filem. Ia tidak perlu untuk kelihatan terlalu mencuba dalam mendatangkan perasaan, namun kebijaksanaan pembikinnya menghidupkan perasaan itu sudah terlalu baik untuk kita merasai pengalaman sinema patriotik yang unik dan berkesan.

Filem sejarah atau patriotik di Malaysia kadangkala suka terperangkap dengan politik, sama seperti dalam arena sejarah negara yang suka memberikan perhatian berlebihan terhadap politik secara dominan. Ruang sejarah negara kadangkala sempit untuk memberikan laluan lebih baik buat naratif sosial atau sejarah-sejarah rakyat.

Mungkin filem boleh menjadi permulaan buat kita mendekatkan diri dengan sejarah sosial. Mungkin sukan atau bentuk-bentuk perjuangan rakyat yang kelihatan kecil boleh diangkat ke layar besar untuk dikenang sebagai sesuatu yang bernilai tinggi. 

Kemenangan Malaysia pada Piala Thomas 1992 jika berada di tangan pembikin filem yang benar akan membolehkan kita memiliki sebuah filem patriotik bermutu tinggi.

Punch Gunalan seorang India menjadi jurulatih, Rashid Sidek seorang Melayu menjadi pemain utama dan Chea Soon Kit-Soo Beng Kiang dua orang Cina menjadi penentu mata keramat.

Ia kisah besar yang amat rugi jika diabaikan. Di tengah-tengah kekalutan sesama rakyat yang kelihatan sering berprasangka di media sosial, kita memerlukan kekuatan filem seperti ini untuk membuatkan kita faham bagaimana baiknya kalau kita semua berpadu tenaga. – 24 Ogos, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen