Haramkan terus Dong Zong, kata Ibrahim Ali


Jason Santos

Tak perlu siasat haramkan terus sahaja Dong Zong, kata Presiden Perkasa Ibrahim Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 18 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa tidak perlu menyiasat Dong Zong sebelum mengharamkannya kerana perdana menteri sendiri menggelarkannya “rasis”, kata Presiden Perkara Ibrahim Ali.

Ketua kumpulan hak Melayu itu berkata tidak logik bagi Dong Zong- atau Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia- untuk terus menuduh yang pengenalan khat Jawi di sekolah rendah adalah satu proses Islamisasi.

“Islamisasi tiada kaitan langsung. Khat adalah soal kreativiti dan seni. Sekarang, penyokong Dong Zong juga beritahu yang kerajaan perlu mengiktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) terlebih dahulu.

“Tak perlu tunggu (untuk siasatan disiapkan).

“Semuanya soal kesungguhan politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk haramkan Dong Zong atau tidak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa Sabah di Tuaran, 40 km dari Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir akan hilang kewibawaan menjadi perdana menteri sekiranya terus membenarkan rakan politiknya menentukan keputusannya.

“Dr Mahathir kata dia akan serahkan kepada polis untuk siapkan siasatan. Saya harap dia tak kata begitu untuk redakan kemarahan orang Bumipuera dan kemudian nanti memutuskan untuk tidak haramkan Dong Zong,” katanya lagi.

Ibrahim juga mendedahkan bahawa Perkasa sudah menghantar memorandum bantahan kepada perdana menteri supaya mengisytiharkan Dong Zong sebagai pertubuhan haram dan hampir semua Perkasa negeri sudah membuat laporan polis terhadap organisasi pendidikan Cina itu.

Khamis lepas, Muhyiddin berkata susulan laporan polis yang dibuat, Dong Zong sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata enam laporan dibuat terhadap Dong Zong dalam isu khat Jawi. – 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Helo Ibrahim Ali. Kalau Dong Zong rasis, tidak akan ada lebih 100,000 anak-anak Melayu di sekolah Cina. Mengapa begitu ramai orang Melayu hantar anak-anak mereka ke Sekolah Cina dan bukan ke Sekolah Kebangsaan? Sila siasat dahulu sebelum melatah. Anak-anak Melayu di Sekolah Cina di beri layanan yang baik, seperti anak-anak Cina. Tidak diperbezakan antara mereka. Dong Zong membantah kerana mereka profesional dalam bidang pendidikan. Kementerian buat keputusan untuk mengadakan pelajaran Khat atas kepentingan politik. Itu bezanya.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan