Umno bersedia bantu PAS pinda RUU355 sekali lagi


Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam dan pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang  keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

UMNO sudah bersedia untuk bekerjasama dengan PAS bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walaupun kedua-dua parti tidak dapat berkompromi dalam perkara-perkara lain, kata Annuar Musa.

Menurut laporan Bernama, Ketua Penerangan Umno itu berkata Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam dan pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang  keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan.

“Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya tiada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita pada majlis santai bersama media di Bachok, malam tadi.

Annuar berkata walaupun Umno tidak boleh berkompromi dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu masih banyak perkara lain yang boleh dibuat bersama melalui konsep ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) seperti dalam meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata Umno kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita ingin menegaskan siapa-siapa (parti) yang menyokong DAP kita akan tentang seperti Bersatu dan PKR. 

“Bagi saya pada PRU-14 akan datang, mana-mana yang menyokong DAP kita wajib tentang kerana kita tidak mahu DAP ‘menguasai’ walaupun mereka tidak memerintah seperti yang berlaku di Selangor,” katanya. 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April mencipta sejarah apabila menjadi ahli parlimen dari kalangan pembangkang yang pertama dibenarkan membentang Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat.

Pada hari terakhir sidang pertama tahun ini, Ahli Parlimen Marang itu membentangkan usulnya kepada kerajaan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355.

Hadi mahu kerajaan menaikkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, denda sebanyak RM100,000 dan 100 sebatan.

Bagaimanapun, Speaker Pandikar Amin Mulia  menghentikan perdebatan RUU355 sebelum mereka yang menentangnya menyampaikan hujah mereka, dan menangguhkan prosiding, menyebabkan kekecohan di Parlimen. Pandikar membuat pengumuman itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melengkapkan hujahnya terhadap usul itu.

Pada Muktamar PAS di Alor Setar bulan berikutnya, Hadi melahirkan penghargaan dengan mengucapkan berterima kasih kepada Putrajaya dan berkata tidak akan melupakan jasa kerajaan kerana memberinya peluang membentangkan rang undang-undang persendiriannya di Parlimen – 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kahkahkah,ooi Hadi Awang ko dengar tak? Tak terleleh air lior ke tawaran tu? Padang merbok lagi la nampak nya balaci2.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan