Putrajaya pasti mungkir janji, kata aktivis MA63


Jason Santos

Sejak 1974, kerajaan Persekutuan tidak membayar kenaikan 40% hasil pendapatan tetapi hanya membayar RM26.7 juta secara tetap kepada Sabah. – Gambar Putrajaya, 17 Ogos, 2019.

PUTRAJAYA tidak mungkin menunaikan semua terma Perjanjian Malaysia (MA63) dengan Sabah, terutamanya bayaran balik 40% hasil pendapatan kepada negeri itu, kata pakar perjanjian itu.

Aktivis MA63 Zainnal Ajamain berkata jumlah hutang kerajaan Persekutuan kepada Sabah sudah lama tertangguh dan kini mungkin berjumlah lebih RM1 trilion.

Katanya kepada The Malaysian Insight, tiada cara untuk mengesahkan jumlah sebenarnya kerana semua pendapatan negeri dikutip oleh Putrajaya.

“Walaupun ia (kutipan) adalah mandatori mengikut perjanjian, kerajaan Persekutuan henti membayar kenaikan bagi 40% hasil pendapatan sejak 1974,” kata Zainal yang berkhidmat sebagai penasihat Sabah dalam jawatankuasa pemandu MA63.

Jawatankuasa pemandu MA63 ditugaskan untuk meneliti semula perjanjian itu sebagai sebahagian janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memulangkan hak negeri kepada Sabah dan Sarawak.

Sabah menerima bayaran khas tahunan bermula RM20 juta dari 1969 tetapi bayaran terakhir sebanyak RM26.7 juta diterima pada 1973.

Alasan yang diberikan kepada Sabah pada 1973 adalah kerajaan Persekutuan ketika itu tidak berada dalam kedudukan kewangan yang baik untuk meneliti semula kenaikan bayaran seperti yang diminta kerajaan negeri.

Mengikut Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan, kajian semula setiap lima tahun adalah mandatori.

Tiada usaha dilakukan untuk mengkaji semula sejak itu, kata Zainnal.

Jelasnya sejak 1974, kerajaan Persekutuan tidak membayar kenaikan bagi 40% hasil pendapatan tetapi hanya membayar RM26.7 juta secara tetap.

“Mereka membayar kita kira-kira RM26 juta setahun dan jumlah itu tidak pernah meningkat sejak itu. Alasannya kerajaan Persekutuan tidak mempunyai duit.”

Formula perkongsian pendapatan telah ditetapkan 60:40 mengikut terma MA63 dan ini menunjukkan pengagihan dua perlima seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Zainnal percaya Putrajaya akan cuba meminda Perlembagaan bagi mengurangkan jumlah bayaran semula tahunan kepada Sabah.

Tetapi katanya tindakan itu sia-sia kerana dokumen MA63 adalah dokumen rasmi yang didaftarkan di Britain.

“Jadi tidak mungkin Putrajaya boleh berunding semula terma untuk Sabah dan tidak memenuhinya. Tindakan itu adalah tidak berperlembagaan,” katanya. – 18 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen