Bulan depan, sistem pengangkutan awam Johor Bharu berubah wajah


Sheridan Mahavera

Sistem Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) sepanjang 51km itu akan menyaksikan jalan-jalan utama sekitar Johor Bharu dinaik taraf untuk mewujudkan laluan khas bas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

PADA bulan depan, fasa awal projek pengangkutan awam Johor Bharu akan bermula bertujuan mengurangkan kesesakan, merangsang ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup.

Sistem Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) sepanjang 51km itu akan menyaksikan jalan-jalan utama sekitar Johor Bharu dinaik taraf untuk mewujudkan laluan khas bas.

Dokumen awam menunjukkan laluan jalan tengah itu khas untuk pergerakan bas akan ditutup daripada trafik lain dan hanya dibuka di stesen khas.

“Ia seperti sistem MRT (Transit Rapid Massa) tetapi dengan bas yang bergerak atas jalan raya dan bukannya landasan,” kata Ketua Pengurus Projek IMBRT Mohamed Amin Haron kepada The Malaysian Insight.

Sistem itu adalah berasaskan model yang terbukti berjaya di lebih 100 buah negara dan alternatif mampu guna berbanding sistem landasan yang lebih mahal seperti MRT di Lembah Klang.

Berbanding dengan Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang juga sepanjang 51km yang menelan belanja RM21 bilion, IMBRT hanya berkos RM2.56 bilion.

Amin berkata pada bulan depan, IMBRT akan memulakan simulasi keadaan trafik sebelum pembinaan bermula tahun depan.

Dalam simulasi itu, laluan tengah antara Jalan Skudai ke Jalan Tun Abdul Razak, jalan utama dari Skudai ke bandar Johor Bharu akan ditutup. Jalan itu adalah laluan untuk jajaran Skudai IMBRT.

Ia juga akan meliputi Jalan Tebrau, yang akan termasuk dalam laluan Tebrau. Simulasi itu dijangka akan berlangsung selama sebulan.

“Ketika MRT dibina di Lembah Klang, ia menyebabkan kesesakan trafik luar biasa dan menimbulkan banyak kemarahan. Belajar daripada pengalaman itu, kami mahu rakyat bersedia,” katanya.

Projek IMBRT dilancarkan pada Oktober 2017, sebahagian daripada rancangan Putrajaya untuk merangsang pembangunan Wilayah Iskandar- koridor ekonomi terletak di kawasan selatan Johor bersempadan dengan Singapura.

Koridor pembuatan, pendidikan dan hartanah itu terletak dari timur ke barat dari Pulau Kukup ke Pasir Gudang, dan dari utara ke selatan dari Senai ke bandar Johor Bharu.

Sebanyak RM1 bilion daripada kos keseluruhan berjumlah RM2.56 bilion akan dibiayai Putrajaya, manakala selebihnya oleh usaha sama awam dan swasta.

Sistem serupa berjaya dilaksanakan di Bogota, Colombia dan Jakarta, Indonesia, IMBRT akan dibina di atas jalan persekutuan sedia ada di bandar Johor Bharu.

IMBRT akan mempunyai tiga jajaran utama:

*Iskadar Puteri yang bermula dari Medini (di barat) ke Skudai Kiri (berhampiran bandar JB).

*Skudai- Universiti Teknologi Malaysia (di utara) ke Skudai Kiri.

*Tebrau-Desajaya (di timur) ke Bukit Chagar (berhampiran Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin).

Akan terdapat juga bas dengan laluan terus seperti dari UTM ke Skudai Kiri tanpa berhenti, di antara akan ada juga bas penghubung yang menghubungkan jajaran utama, kata Amin lagi.

Jajaran pertama, Iskandar Puteri, berkemungkinan besar dapat disiapkan berbanding jajaran lain yang disasarkan siap pada 2022.

Sebaik disiapkan, ia dijangka meningkatkan liputan pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia daripada 39% kepada 90% menjelang 2025.

Bertentangan dengan salah tanggapan rakyat, bas IMBRT bukanlah bas yang di dalamnya panas, berbau dan tegik malah kerusinya tercabut yang biasa ditemui di seluruh bandar lain Malaysia, kata Intan Darlina Muhammad, ketua perhubungan komunikasi dan pihak berkepentingan IMBRT.

Bas itu sebaliknya adalah bas yang biasa ditemui digunakan untuk menghubungkan stesen MRT berbanding bas biasa.

“Ia berhawa dingin, luas dan akan ada WiFi. Ini adalah cabaran terbesar kami. Untuk mengubah tanggapan rakyat tentang BRT dan menarik minta mereka untuk meninggalkan kereta di rumah dan menggunakannya (BRT).

“Kami tak mahu bina sesuatu yang rakyat tak akan guna,” katanya lagi. – 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen