Dr Mahathir khianati kami, kata kumpulan Hindu India


Timothy Achariam

Lebih 20 NGO Hindu India membuat laporan polis terhadap Zakir Naik hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengkhianati kepercayaan masyarakat India dan penganut Hindi di negara ini apabila enggan mengusir penceramah kontroversi Zakir Naik, kata kumpulan Hindu hari ini.

Arun Dorasamy, penasihat persatuan Hindu Agamam Ani memberitahu The Malaysian Insight yang sangat menyedihkan apabila perdana menteri menyokong Zakir berbanding orang India negara ini yang mengundinya pada pilihan raya umum lalu.

“Apa yang lebih menyakitkan adalah pengkhianatan Dr Mahathir yang sepatutnya menjadi perdana menteri kepada semua kaum, dia menghilangkan kepercayaan kami semalam. Dia sepatutnya mempertahankan kami, bukan mengabaikan soalan berkaitan Zakir,” katanya.

“Kami tahu karakter jahat Zakir dan kami tahu kebanyakan negara menolaknya tetapi semalam kita melihat karakter sama daripada Dr Mahathir,” katanya di luar Balai Polis Sentul bersama-sama lebih 20 NGO yang berkumpul untuk membuat laporan polis terhadap ulasan terbaru Zakir yang menghina komuniti India Malaysia.

“Komuniti India menyokongnya untuk mengubah kerajaan pada pilihan raya umum lepas. Tetapi, sekarang dia berkuasa, dia tak boleh pertahankan kami? Ini bukan kegagalan Zakir, ini kegagalan Dr Mahathir. Dan Dr Mahathir menghantar mesej salah kepada negara,” katanya lagi.

Tambahnya, pengkhianatan Dr Mahathir lebih menyakitkan berbanding kenyataan Zakir kerana kenyataan perdana menteri itu tidak pernah dijangka berlaku.

“Kami ingat Dr Mahathir akan pertahankan semua rakyat tetapi dia gagal berbuat begitu semalam.”

Selaku perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mempertahankan rakyat Malaysia bukannya warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2019.

Arun berkata NGO India Hindu tidak akan menghentikan usaha mereka supaya Zakir diusir, dan mereka berharap untuk 10,000 laporan polis dibuat terhadap penceramah itu yang menghina agama Hindu baru-baru ini.

Penceramah kelahiran Mumbai itu dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada hujung minggu lepas berkata penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir sendiri.

Zakir diberikan status Penduduk Tetap (PR) di Malaysia walaupun India memohon supaya beliau diekstradisi untuk berdepan pertuduhan jenayah di negara itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata Zakir tidak boleh dihantar pulang kerana nyawanya berdepan bahaya di India.

“Dia akan duduk sini, kerana kalau kita hantar dia balik dia mungkin akan dibunuh.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan jika ada negara yang mahu terima dia,” katanya.

Dr Mahathir juga enggan menjawab soalan tentang kenyataan Zakir mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini.

“Awak boleh tanya mereka. Macam mana saya hendak tahu?” – 14 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen