Zakir Naik akan terus tinggal di sini, kata PM


Noel Achariam

Zakir Naik tidak boleh dihantar pulang ke negara asalnya India kerana mungkin akan dibunuh, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan pendakwah kontoversi Zakir Naik akan kekal di Malaysia selepas mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu kepada negara.

Menurut beliau Zakir tidak boleh dihantar pulang ke negara asalnya India kerana mungkin akan dibunuh.

“Dia akan duduk sini, kerana kalau kita hantar dia balik dia mungkin akan dibunuh.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan jika ada negara yang mahu terima dia,” kata Dr Mahathir di Majlis Ulangtahun Ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Zakir teruk dikecam teruk oleh penganut Hindu di negara ini selepas berkata masayarakat penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir pada satu ceramah di Kelantan.

Awal hari ini, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata beliau akan membangkitkan isu tentang status penduduk tetap Zakir pada mesyuarat Kabinet esok, selepas pendakwah kontroversi itu dikatakan menghina penganut Hindu di Malaysia.

Kula Segaran berkata kehadiran Zakir di Malaysia memalukan semua rakyat Malaysia dan statusnya di sini perlu disemak semula.

“Tindakannya tidak mencerminkan seseorang yang layak mendapat status penduduk tetap dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet,” kata naib presiden DAP itu dalam satu kenyataan hari ini. – 13 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen