Hina Hindu, status PR Zakir Naik dibawa ke Kabinet


Zakir Naik, penceramah kontroversi dari India pada ceramah di Kota Baru berkata penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2019.

MENTERI Sumber Manusia M. Kula Segaran akan membangkitkan isu tentang status penduduk tetap Dr Zakir Naik pada mesyuarat Kabinet esok, selepas pendakwah kontroversi itu dikatakan menghina penganut Hindu di Malaysia.

Kula Segaran berkata kehadiran Zakir di Malaysia memalukan semua rakyat Malaysia dan statusnya di sini perlu disemak semula.

“Tindakannya tidak mencerminkan seseorang yang layak mendapat status penduduk tetap dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet,” kata naib presiden DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Zakir yang berasal dari Mumbai, India pada satu program ceramah di Kota Baru, baru-baru ini dilaporkan berkata malang apabila penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, penganut Hindu di India ada lebih hak berbanding umat Islam di sini.

Zakir turut memuji Dr Mahathir sebagai pemimpin yang mampu dipandang tinggi oleh negara lain, kerana Malaysia memberikannya status penduduk tetap walaupun India memohon untuk mengekstradisinya pulang.

Zakir dikehendaki di negara asalnya kerana berdepan pertuduhan mencetuskan keganasan, menyampaikan ucapan kebencian dan melakukan pengubahan wang haram.

Kula Segaran berkata Zakir menyentuh perkara asas dalam masyarakat majmuk Malaysia dengan mempersoalkan kesetiaan rakyatnya.

“Oleh itu, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadapnya.

“Zakir Naik orang luar yang juga pelarian dan tidak ada pengetahuan tentang sejarah rakyat Malaysia, maka beliau tidak seharusnya diberikan keistimewaan untuk merendahkan rakyat Malaysia yang lain, apatah lagi mempersoalkan kesetiaan mereka pada negara,” kata Kula Segaran.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersatu dan melindungi keamanan dan kestabilan negara kita yang terdedah dengan strategi Zakir dalam menggunakan sentimen agama dan kaum dalam negara yang harmoni ini.

“Kini masanya untuk pelarian warga asing itu meninggalkan Malaysia dan berdepan tuduhan keganasan dan pengubahan wang haram di India.” – 13 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen