DAP digesa tunai janji di Sabah, henti juarai khat


Jason Santos

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee berkata rakyat Sabah tidak melupakan janji-janji DAP yang "menarik dan tidak dapat dilupakan" sebelum pilihan raya umum lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2019.

PEMIMPIN-pemimpin DAP harus memenuhi janji-janji mereka kepada rakyat Sabah daripada cuba menjadi juara mengenai isu khat, kata bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee hari ini.

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata rakyat Sabah tidak melupakan janji-janji DAP yang “menarik dan tidak dapat dilupakan” sebelum pilihan raya umum lepas.

“Antara janji yang jelas dan tidak dapat dinafikan ialah pulangan sebanyak 50% daripada hasil cukai kepada Sabah, yang diumumkan Guan Eng, di hadapan pemimpin-pemimpin DAP Sabah, sebelum pilihan raya umum tahun lalu,” katanya merujuk kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Satu lagi janji yang tidak dapat dilupakan ialah royalti minyak 20% kepada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, Sabah.

Yong juga menggesa Guan Eng supaya menunaikan janji untuk melaksanakan 49 projek bernilai RM2.28 bilion seperti yang dijanjikan semasa pilihan raya kecil Sandakan tiga bulan lalu.

“Janji penting lain yang dibuat oleh DAP ialah menyiapkan jambatan gantung di Kota Kinabalu yang memerlukan tambahan wang persekutuan bernilai RM2 juta yang gagal diperolehi pemimpin DAP Sabah daripada Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan,” katanya.

Pembinaan jambatan di Kota Kinabalu bernilai RM31 juta itu ditangguhkan  hampir dua tahun selepas pemaju gagal membayar hutang berjumlah lebih dari RM20 juta kepada kontraktor.

Yong turut berkata apa yang lebih mengecewakan rakyat Sabah apabila  Pakatan Harapan memperkenalkan lebih banyak lagi sejak ia mengambil alih pentadbiran termasuk cukai pelepasan, cukai soda, cukai digital, cukai jualan dan perkhidmatan, cukai perkhidmatan import (B2B), dan peningkatan duti setem serta cukai keuntungan hartanah.

Beliau berkata adalah sangat memalukan ketika mereka dilihat tidak melaksanakan janji, DAP sebaliknya cuba menjadi juara berhubung isu khat.
 
“Khat tidak berada dalam manifesto mana-mana parti politik tetapi DAP ia kini jadi kempen utama untuk meyakinkan masyarakat Cina menerimanya. Ini adalah penghinaan terhadap rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada DAP.

“Menteri Kewangan terpaksa mengeluarkan jutaan wang ringgit untuk merekrut, melatih dan menempatkan lebih banyak guru Jawi atau khat di sekolah Cina, Tamil dan sekolah-sekolah lain di negara ini

“Rakyat dijanjikan pengiktirafan UEC tetapi sebaliknya mendapat khat pula,” katanya. – 12 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen