SPRM siasat KSU pelancongan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Isham Ishak ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu pada pukul 2 petang semalam, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2019.

AGENSI anti rasuah memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Isham Ishak untuk membantu siasatan dipercayai berhubung bayaran tuntutan sebuah syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.

Isham dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pukul 2 petang semalam, kata sumber.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi mengesahkan ketua setiausaha kementeriannya dipanggil semalam dan dipanggil sekali lagi hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan siasatan kes melibatkan ketua setiausahanya itu kerana belum dimaklumkan secara rasmi mengenainya oleh SPRM.

“Saya tidak boleh komen banyak kerana perkara ini dalam siasatan,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Jelas Mohammadin, beliau yakin kes yang disiasat SPRM melibatkan kementeriannya kerana yang dipanggil adalah ketua setiausaha kementerian.

Mohammadin turut menegaskan sebagai anggota kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan, beliau memandang serius sebarang salah laku melibatkan rasuah.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan pegawai yang buat salah laku dan terlibat rasuah. 

“Kalau saya tahu (ada pegawai terlibat), saya sendiri akan buat laporan (kepada pihak berkuasa),” katanya, dan mengulangi beliau tidak boleh komen lebih lanjut.

Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan Isham tidak masuk ke pejabatnya hari ini.

Beliau juga difahamkan Isham yang dipanggil ke SPRM petang semalam berada di ibu pejabat agensi anti rasuah itu sehingga selepas tengah malam tadi.

Sumber juga memberitahu, SPRM semalam mengunci pejabat Isham di kementerian bagi tujuan siasatan.

Siasatan SPRM ini dipercayai ada kaitan dengan dakwaan salah guna kuasa di Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang diselidik oleh agensi anti rasuah pada awal tahun ini.

The Malaysian Insight difahamkan Tourism Malaysia masih membuat bayaran yang dituntut oleh syarikat berkenaan walaupun kes itu dalam siasatan SPRM.

Pada Januari lalu, bekas pengerusi Tourism Malaysia Siew Ka Wei ditahan reman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM. Beliau ditahan bersama ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat, Elizabeth Ken Tze Ying.

Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan.

SPRM juga memanggil ketua setiausaha kementerian pada masa itu, Rashidi Hasbullah untuk diambil keterangan.

Siasatan itu berkaitan dengan suatu kontrak bernilai RM99.7 juta antara Tourism Malaysia dengan Geeko Tech Sdn Bhd yang ditandatangani pada 4 April 2018, sebulan sebelum pilihan raya umum.

Kontrak bagi tempoh dua tahun itu adalah untuk mempromosikan Malaysia di China melalui Internet.

Maklumat mengenai kontrak itu didedahkan kepada umum oleh bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong di blognya, dua bulan selepas ia dimeterai.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Wangsa Maju menggesa pihak berkuasa menyiasat kontrak berkenaan yang dakwanya mencurigakan kerana mendapat kelulusan dan ditandatangani dalam sehari.

Isham dilantik ke jawatannya sekarang pada 17 Februari lalu menggantikan Rashidi yang bersara wajib.

Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kira-kira setahun sebelum itu. – 7 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen