Bekas pengerusi Tourism Malaysia, CEO syarikat direman 4 hari 


Chan Kok Leong

Pengerusi Eksekutif Ancom Bhd dan pemilik portal berita Malay Mail, Siew Ka Wei dan Elizabeth Ken Tze Ying direman sehingga 12 Januari  berhubung siasatan kontrak pelancongan RM100 juta yang dianugerahkan dalam masa sehari, sebelum PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Januari, 2019

BEKAS pengerusi Tourism Malaysia Siew Ka Wei dan seorang ketua pegawai eksekutif syarikat Elizabeth Ken Tze Ying direman empat hari berhubung satu kontrak kerajaan yang diberikan sejurus sebelum pilihan raya umum ke-14.

Majistret Irza Zulaika Rohanuddin dari Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan kedua-duanya ditahan reman sehingga 12 Januari.

Kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9 pagi tadi.

Siew, 62, dan Ken, 32, ditahan SPRM selepas kenyataan mereka diambil di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya semalam.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan. 

Siew, pengarah urusan kumpulan Nylex (M) Bhd and Redberry Group CEO, disiasat berhubung urusniaga bernilai RM99.7 juta melibatkan Tourism Malaysia yang ditandatangani pada 4 April 2018.

Ancom terlibat dalam perusahaan bahan kimia dan herba, manakala Nylex dalam produk pembinaan kimia.

Kegiatan utama Redberry Group melibatkan iklan luar seperti papan iklan dan iklan panggung wayang. Ia juga memiliki portal berita Malay Mail.

Siew, yang dilaporkan rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, telah dilantik sebagai pengerusi Tourism Malaysia pada 21 September 2016.

Pada Jun lepas, bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong menerusi blognya mendedahkan kontrak bernilai RM99.7 juta telah “dinilai, dirunding dan ditandatangani dalam masa sehari” pada 4 April 2018, sebulan sebelum PRU14.

Kontrak dua tahun dengan syarikat Elizabeth Ken itu, adalah untuk mempromosikan Malaysia di China melalui Internet. Syarikat tersebut didakwa menerima RM11.9 juta pada 23 April, iaitu lima hari sebelum penamaan calon PRu14 dan 18 hari selepas Parlimen ke-13 dibubarkan.

Wee mendakwa Elizabeth Ken merupakan pemegang saham dan CEO Geeko Company yang diperbadankan pada 2017. – 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen