2 individu di mahkamah untuk perintah reman berhubung kontrak pelancongan RM100 juta


Chan Kok Leong

Identiti kedua-dua individu terbabit tidak dapat dikenal pasti kerana masing-masing menutup muka menggunakan baju ketika dibawa ke mahkamah majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman oleh SPRM hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Januari, 2019

BEKAS pegawai Tourism Malaysia dan pegawai sebuah syarikat swasta di bawa ke mahkamah majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kedua-dua individu berkenaan disiasat berhubung kontrak pelancongan RM100 juta yang dianugerahkan dalam masa sehari, sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.

Memakai baju lokap SPRM berwarna jingga, kedua-dua mereka di bawa ke mahkamah pada pukul 9 pagi untuk prosiding reman.

Namun identiti kedua-dua mereka tidak dapat dikenal pasti kerana mereka menutup muka menggunakan baju.

Bagaimanapun, laporan sebelum ini menyebut bekas pegawai dan seorang lagi pegawai, dikatakan seorang wanita daripada sebuah syarikat swasta ditahan oleh SPRM di Putrajaya selepas keterangan mereka diambil semalam.

Menurut sumber, kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk penyelewengan.

Pegawai atasan terbabit merupakan ahli perniagaan terkenal manakala seorang lagi merupakan pentadbir kanan di sebuah syarikat swasta.

Difahamkan, penahanan mereka adalah berkaitan siasatan berhubung kontrak bernilai RM100 juta yang didakwa diluluskan dalam masa sehari - pada 4 April 2018. Ia mendapat kritikan kerana urusan perjanjian sebanyak RM99.693 itu tidak mungkin dapat dinilai, dirunding dan dimeterai hanya dalam masa sehari.

Bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keng mendedahkan perkara itu menerusi blognya pada 31 Mei.

Beliau berkata kontrak berkenaan, yang diberikan kepada syarikat tempatan untuk menjadi orang tengah kepada Tourism Malaysia dan syarikat berpangkalan di China bagi mempromosikan Malaysia di media sosial, dianugerahkan secara tergesa-gesa tanpa sebarang tindakan wajar. – 9 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen