Penentang Jawi anak penjajah, kata Hadi


Mereka yang menentang Jawi adalah anak dan wakil penjajah, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2019.

ABDUL Hadi Awang menggelarkan pihak yang menentang pengajaran seni khat Jawi kepada semua pelajar sekolah sebagai “anak-anak atau wakil penjajah” British.

Dalam satu catatan di Facebooknya, presiden PAS itu berkata mereka yang menentang tulisan Jawi hanya meneruskan legasi penjajah yang mahu menghapuskan pengaruh Islam dalam budaya dan tradisi tempatan.

Ahli Parlimen Marang itu juga memberikan contoh beberapa pemimpin bukan Islam yang mempunyai kemahiran menulis dan membaca Jawi, membuktikan ia sebenarnya sudah menjadi amalan politik, ekonomi dan sosial tempatan.

“Mendiang Lee Kuan Yew, pemimpin Singapura dan Dr. Tan Seng Giaw, mantan pemimpin DAP mampu menulis dengan tulisan jawi, menunjukkan tulisan jawi dirasmikan dalam amalan politik, ekonomi dan sosial,” tulisnya.

Tambahnya lagi, sebarang usaha untuk mengembalikan Jawi adalah mulia dan perlu disambut baik.

“Segala usaha menghidupkan tulisan jawi adalah mulia dan murni yang menunjukkan ada jiwa agama dan bangsanya. Sangat nyata golongan yang menentangnya adalah anak-anak penjajah atau wakilnya yang masih berada di sini, walaupun penjajah Barat itu dikatakan sudah pulang ke negara asal mereka.”

Usaha mengembalikan tulisan Jawi ke dalam sistem pendidikan kebangsaan dan vernakular yang diumumkan Kementerian Pendidikan itu sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat.

Bantahan yang wujud, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng adalah kerana akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang mencetuskan kemarahan masyarakat itu.

Akhbar itu adalah media pertama yang melaporkan usaha itu.

“Ketika saya kembali ke rumah selepas 4 hari berada di luar negara, saya berhadapan rasa tidak puas hati masyarakat bukan Melayu berikutan laporan Sin Chew Jit Poh bahawa buku teks Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 4 di sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan memasukkan seni khat.

“Walaupun seni khat atau Jawi adalah sumber kepada bahasa Bahasa Malaysia, laporan berita itu berjaya menimbulkan kebimbangan bahawa watak dan identiti sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan terjejas,” kata Lim semalam.

Pemimpin kanan parti itu termasuklah Lim Kit Siang, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong sudah menyatakan sokongan kepada usaha itu, tetapi kebanyakan pemimpin akar umbi membantah rancangan itu.

Semalam, selepas mesyuarat hampir lima jam di ibu pejabat DAP, sumber parti mendedahkan mereka akan bekerjasama dengan Putrajaya untuk mencari penyelesaian terbaik kepada kemelut itu.

“Salah satu pilihan adalah untuk meneliti sama ada guru boleh diberikan kebebasan tentang kaedah mengajarnya,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Katanya lagi, isu itu mendapat bantahan pejuang pendidikan vernakular dan DAP sedang berusaha mencari jalan terbaik memuaskan kehendak semua pihak.

Sumber menegaskan yang wakil rakyat DAP tidak membantah usaha itu, tetapi parti “menerima tekanan daripada beberapa NGO.”– 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen