Makanan untuk dimakan, bukan dibazir, kata bank makanan


Thor Kah Hoong

Pengarah Operasi bank makanan negara Hayati Ismail berkata beliau berharap ada bank yang sama di setiap negeri di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini bagi membantu golongan memerlukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 April, 2017.

SETIAP hari di Malaysia 15,000 tan makanan berakhir di tapak pelupusan sampah, sewenangnya dicampak ke dalam longkang, sungai dan tepi jalan, sedangkan 3,000 tan daripadanya masih boleh dimakan.

Jawapan kepada pembaziran ini ialah Yayasan Bantuan Makanan (FAF), satu “bank makanan” di mana pengeluar, pemborong dan penjual boleh menderma makanan yang masih boleh dimakan ke rumah kebajikan, dapur jalanan dan keluarga miskin.

FAF bermula daripada Rick See, seorang ahli perniagaan yang menyediakan peralatan dapur kepada perniagaan makanan dan minuman selama lebih dua dekad, dan Naib Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia Mohamad Faisal Ghazali.

Dari situ, kini ia mempunyai lembaga pemegang amanah diketuai Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holdings and Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd, Ibrahim Ahmad Badawi. Ahli lembaga lain ialah chef Zamzani Abdul Wahab, Abdul Karim Yusof (berpengalaman lebih dua dekad dalam industri hospitaliti) dan peguam Ronald Tung.

Penyokong FAF – hotel seperti Hotel Bangi-Putrajaya, rangkaian pasar raya besar Tesco, rangkaian makanan segera seperti McDonalds, KFC dan Kenny Rogers Roasters menyediakan bahan asas iaitu makanan yang masih boleh dimakan.

Tiga kali seminggu, dua van FAF akan keluar pada waktu pagi mengambil makanan dari lapan Tesco di Lembah Klang, dari kedai roti dan penyedia makanan di kafeteria Bank Negara.

FAF terletak di Desa Tun Razak, Cheras. Ia mempunyai dua bilik untuk menyimpan pelbagai makanan, daripada kentang hinggalah sosej dan roti. Dalam satu lagi bilik sejuk bersaiz lebih kecil disimpan paket makanan masak dari hotel – bukan sisa makanan yang diambil dari meja bufet, tetapi lebihan yang disimpan di dapur, seperti stew daging, sosej.

Di sinilah rangkaian dengan Persatuan Hotel Malaysia, persatuan chef dan kolej kulinari diaktifkan, dan chef serta pelajar datang ke dapur FAF untuk memproses apa saja, daripada ratusan roti kepada ribuan kentang.

Makanan yang siap dimasak akan dihantar ke rumah kebajikan dan dapur jalanan.

Semua aktiviti ini berjalan dengan lancar di bawah kelolaan Pengarah Operasi Hayati Ismail, yang berhenti daripada dunia korporat kerana tidak sanggup lagi “duduk dalam kubikel, bekerja hanya untuk syarikat, dari jam 9-5, dan sebenarnya hampir selalu melebih jam 5”.

Jadi, ketika hamil anak ketiganya, dia berhenti kerja sebagai pereka dalaman. Pekerjaan itu tidak memuaskan hatinya kerana sepanjang pengalaman dalam bidang itu ialah: “Anda orang tempatan, bukan mat salleh, jadi kami bayar anda kurang”.

Akhirnya, berhasrat untuk “memberi semula kepada masyarakat” membawanya membantu Syed Azmi mengendalikan Free Market, dan dapur jalanan di Chow Kit, di mana kemudiannya dia dibawa menemui See oleh seorang rakan pada 2015.

FAF bermula pada 2013. Kini See mahu seseorang membawanya ke peringkat seterusnya, seseorang yang boleh menyatukan kertas cadangan, mencari dana dan menyelesaikan masalah.

Satu contoh ialah ketika Kelloggs membekalkan bijirin sarapan kepada FAF. Sekolah bersedia menerimanya, tetapi makanan untuk sekolah dikawal oleh Kementerian Pendidikan.

Selepas beberapa bulan menghantar kertas cadangan dengan semua dokumen diperlukan kepada kementerian, Hayati menyelesaikan masalah itu dengan mendermakannya kepada persatuan ibu bapa di sekolah.

Kemudian, ada seorang kawan memberitahu ada berhubung dengan rakan di Thailand yang ada 12,000 tan muesli, tidak mencapai spesifikasi dan tidak boleh dijual, tetapi mereka sanggup menghantarnya ke Malaysia.

Bagaimanapun, karenah birokrasi dan urusan penghantaran terlalu lewat menyebabkan Hayati menghantar bekalan makanan itu untuk pelarian di Syria.

Berbalik ke Lembah Klang, FAF menyediakan makanan untuk 7,000 orang – rumah kebajikan, keluarga miskin, sekolah, gelandangan melalui gabungan NGO dan dapur jalanan.

Gembira dengan kejayaan bank makanan pertama, Hayati kini berharap ada bank yang sama di setiap negeri di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Jika anda mahu menderma, atau menjadi sukarelawan menyumbangkan masa, usaha, wang atau makanan boleh hubungi Hayati dan FAF di talian 03-92265500 atau emel di [email protected]. – 16 April, 2017.

 

Bahagian 2: Hentian untuk mereka yang lapar.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen