Mampukah pengharaman buku menutup minda rakyat?


Wan Hamidi Hamid

JIKA nasi lemak, teh tarik atau roti canai diharamkan, tidak mustahil rakyat akan marah dan bangkit berdemonstrasi. Oleh itu, rasanya pihak berkuasa tidak akan berani melakukan pengharaman itu walau apa pun sebabnya kerana semuanya sudah menjadi keperluan majoriti rakyat.

Bayangkan pula jika pengharaman rokok dari sudut hukum agama benar-benar dikuat kuasakan dan disama tarafkan dengan dadah berbahaya; mungkin tidak berlaku rusuhan tetapi ia akan menimbulkan kemarahan yang amat sangat. Perokok menganggap rokok sebagai sumber inspirasi dan hak asasi kebebasan mereka.

Lain pula apabila hal-hal berkaitan babi dan bir diharamkan pada masa-masa tertentu. Memang timbul kemarahan tetapi ia hanya suara minoriti daripada kaum minoriti. Malah kaum majoriti pula biasanya tanpa segan-silu menyokong pengharaman tersebut.

Namun, apakah benar sokongan atau bantahan terhadap sesuatu pengharaman itu ditentukan oleh sebesar mana kelompok majoriti atau sekecil mana kumpulan minoriti?

Jika angka menjadi perkiraan, mengapa sunyi-sepi keadaannya apabila buku-buku diharamkan?  Adakah majoriti rakyat tidak membaca? Adakah buku itu hanya digemari kumpulan minoriti? Adakah golongan majoriti gembira dengan pengharaman buku?

Tahun ini sahaja Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan berpuluh-puluh tajuk buku. Undang-undang yang digunakan untuk menyekat hak membaca dan mencari ilmu ini adalah peraturan yang sama yang digunakan untuk mengawal kebebasan akhbar, iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Biasanya, alasan KDN untuk pengharaman itu adalah kerana buku-buku tersebut dikatakan mempunyai “kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, mungkin memudaratkan kemoralan, mungkin memudaratkan kepentingan awam dan mungkin memudaratkan kepentingan negara.”

Yang terbaru, KDN mengharamkan buku “Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty” karya  penulis Turki, Mustafa Akyol berserta dengan terjemahan bahasa Melayunya “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” terbitan Islamic Renaissance Front (IRF).

Turut diharamkan adalah buku hasil suntingan Pengerusi IRF, Dr Ahmad Farouk Musa, iaitu “Wacana Pemikiran Reformis 1” dan “Wacana Pemikiran Reformis 2”.

Buku karya pensyarah Faisal Tehrani, iaitu “Aku ____, Maka Aku Ada!” juga diharamkan. Penulisnya merupakan mangsa pengharaman buku yang paling teruk kerana karyanya yang paling banyak diharamkan sejak hampir lima tahun lalu.

Sebelum ini, KDN juga mengharamkan buku “Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” terbitan kumpulan mantan pegawai tinggi kerajaan dan profesional G25. Kata pengantar buku tersebut ditulis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penulis dan penterjemah Al-Mustaqeem Radhi juga menjadi mangsa apabila buku terjemahannya “Menuju Reformasi Perundangan Islam” karya sarjana antarabangsa Abdullahi Ahmed An-Naim serta dua lagi risalah turut diharamkan baru-baru ini.

Buku-buku tersebut membawa perspektif kebebasan berfikir dan bersuara serta berani mempersoalkan hal-hal yang dianggap jumud, menekan, dan tidak adil.

Sebenarnya pemerintah sedar bahawa rakyat yang berani berfikir, membaca dan mempersoalkan status quo mampu menggugat kuasa.

Melalui andaian hegemoni budaya yang dibawakan oleh ahli falsafah kiri Itali, Antonio Gramsci, selain kawalan melalui undang-undang, polis dan tentera, pemerintah mengekalkan kuasa dengan meyakinkan rakyat bahawa apa yang dilakukan kerajaan dan agensinya adalah demi kebaikan mereka.

Tanpa menggunakan kekerasan, rakyat belajar dan diajar melalui keluarga, sekolah, universiti, masjid, gereja, kuil, media, badan politik dan sebagainya untuk menerima secara sukarela bahawa ideologi dominan pemerintah bahawa kekangan, halangan dan kawalan terhadap rakyat adalah sesuatu yang baik, wajar dan wajib diterima sebagai normal dan biasa.

Pada masa yang sama, hegemoni budaya juga membentuk minda rakyat supaya benci dengan apa yang dibenci oleh pemerintah, sama ada dengan alasan agama, kaum atau ideologi politik.

Mungkinkah ini sebabnya mengapa rakyat Malaysia tidak berdemonstrasi perasaan atau merusuh apabila buku-buku diharamkan – kerana sudah ditanam dalam minda bahawa tindakan itu bertujuan menjaga kemurnian dan kesucian minda rakyat?

Atau sebenarnya hal-hal yang lebih remeh telah menjadi lebih penting daripada buku yang perlu dibantah atau disokong dengan demonstrasi besar-besaran?

Sikap dan reaksi dingin terhadap pengharaman buku sudah membayangkan masa depan pemikiran rakyat, khususnya untuk golongan muda pada hari ini – ia agak kelam walaupun belum benar-benar gelap.

Mangsa-mangsa pengharaman buku marah, kecewa dan letih. Ilmu yang mereka mahu kongsikan bersama pembaca disekat kerana pemerintah menyedari kekuatan ilmu yang mampu melahirkan semangat berfikir dan berani menyoal.

Namun, mereka belum putus asa. Seperti kata Al-Mustaqeem selepas buku-bukunya diharamkan: “Buku sebagai kertas berisi abjad-abjad bercetak boleh diharamkan, dibakar, dilarang jual, dilarang edar. Tapi gagasan dan buah fikiran punya sayap, ghaib dan penuh tenaga. Dan kerana itu ia akan terus terbang ke mana-mana walau seribu senarai pengharaman dikeluarkan.”

Suatu hari nanti, mungkin apabila buku dianggap sama penting dengan nasi lemak, teh tarik atau roti canai, akan lahir generasi yang berani melawan pengharaman buku serta mempertahankan hak untuk membaca tanpa takut, tanpa was-was, tanpa prejudis. – 6 Oktober, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen