KENYATAAN menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk menghabiskan penggal adalah untuk kestabilan dan kelangsungan ekonomi negara, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Azmin juga menafikan bahawa kenyataan bermaksud beliau tidak menyokong Presiden PKR Anwar Ibrabim untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kelapan.
“Kalau anda lihat kandungan (kenyataan) saya jelas ianya tumpu kepada soal ekonomi. Soal kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan dalam negara.
“Penting perdana menteri teruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsisten. Dasar itu hingga kita buat keputusan pilihan raya akan datang. Itu sahaja.
“Saya tiada hasrat menyinggung mana-mana individu,” jelasnya kepada pemberita di Pulau Pinang.
Ditanya sekiranya kenyataan itu untuk menggambarkan beliau tidak menyokong Anwar, Azmin menyoal balas sekiranya perkara itu disebut dalam kenyataannya.
“Ada tak saya cakap dalam (kenyataan) itu? Jangan buat spekulasi,” katanya.
Sokongan itu dinyatakan ke atas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal di jawatan perdana menteri sehingga akhir penggal.
Kenyataan itu meraih kontroversi dan juga tuntutan dari aktivis PKR, Reformis 98 yang menuntut beliau disingkirkan kerana didakwa membelakangi presiden dan tidak menghormati parti.
Azmin pada minggu lalu menjelaskan, sokongannya kepada Dr Mahathir itu hanyalah berhubung pentadbiran kerajaan.
“Ia untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketekalan dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.
“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep kemakmuran bersama yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya.

Malah kenyataan PAS itu juga menunjukkan parti lawan turut mempercayai kepimpinan Dr Mahathir, kata Azmin dalam satu kenyataan.
Hadi dalam kenyataan Sabtu lalu menyebut, PAS mempertahankan Dr Mahathir sebagai perdana menteri biarpun Pakatan Harapan (PH) bersetuju agar jawatan itu dilepaskan kepada Anwar.
Kata Hadi, Bersatu perlu dipertahankan memandangkan parti lain dalam PH tidak mencerminkam kepimpinan Islam.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Azmin seterusnya menyeru agar tumpuan diberikan kepada isu ekonomi dan bukannya kepada kisah politik.
“Saudara saudari sedar rakyat di bawah terlalu penat dengan cerita-cerita politik. Kerana baru setahun kita (Pakatan Harapan) diberikan mandat sudah pun bincang perkara-perkara politik. Ini bagi saya tidak sihat.
“Rakyat di peringkat akar umbi sedang menderita. Kos sara hidup yang tinggi, harga barang yang mahal, dan isu perumah. Jadi saya di sini mahu berbincang kerajaan negeri Pulau Pinang,” tambah beliau.
Beliau ditemui selepas pertemuan dengan anggota kerajaan negeri Pulau Pinang bagi sesi libat urus untuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 di George Town. – 2 Ogos, 2019.
Komen