Azmin gembira PAS mahu Dr Mahathir jadi PM hingga akhir penggal


Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yakin kestabilan politik akan mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2019.

MOHAMED Azmin Ali menyokong kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal di jawatan perdana menteri sehingga akhir penggal.

Timbalan presiden PKR itu berkata kenyataan PAS senada dengan pendiriannya supaya Dr Mahathir dapat mengekalkan kestabilan kerajaan.

Kepimpinan Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketekalan dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep kemakmuran bersama yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.

Kenyataan PAS itu juga menunjukkan parti lawan turut mempercayai kepimpinan Dr Mahathir, kata Azmin dalam satu kenyataan.

Katanya, sokongan PAS secara bipartisan itu dapat dilihat apabila pembangkang menyokong pindaan Perlembagaan menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

“Dukungan bipartisan terhadap perdana menteri merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya.

Hadi pada Sabtu lalu berkata PAS akan mempertahankan Dr Mahathir menjadi perdana menteri biarpun Pakatan Harapan (PH) bersetuju agar jawatan itu dilepaskan kepada bakal pengganti, Anwar Ibrahim.

Kata Hadi, Bersatu perlu dipertahankan memandangkan parti lain yang majmuk kaum dalam PH tidak mencerminkam kepimpinan Islam.

Kata Hadi, sokongan itu bukan hanya dinyatakan PAS namun turut dinyatakan Umno. – 29 Julai, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen