483 laporan polis dibuat berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad


POLIS menerima 483 laporan polis setakat hari ini berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asmawati Ahmad berkata kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala, yang dianggotai kumpulan tertutup.

“Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong dipadam dan polis memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.

“Suka diingatkan, sebagai warga Malaysia, setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ini,” katanya. – Bernama, 27 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen