Kejujuran seorang Yasmin Ahmad


Daniyal Kadir

HARIMAU mati meninggalkan belang, pembikin filem mati meninggalkan apa? Sudah tentu meninggalkan filem.

Namun seperti juga belang, ia bukanlah kekal dalam ingatan kita buat selama-lamanya. Filem juga begitu. Ia tersimpan kemas dalam ingatan seseorang atas pelbagai sebab. Kalau kerana dia mencintai filem yang ditontonnya, sampai ke mati pun dia akan mengingati filem itu.

Begitu juga halnya dengan filem-filem yang teruk, kita akan mengenang filem-filem yang teruk untuk kita jadikan ia sebagai pedoman hidup. Itu mungkin antara sifat filem yang masuk dalam kategori untuk dikenang.

Ada sesetengah filem pula dikenang kerana sikap pembikinnya sendiri, sama ada filem itu baik atau buruk, tolak ke tepi dahulu, pembikin yang pemarah, selalu tersenyum, memiliki kepintaran bicara, pemikir yang hebat, pencari kontroversi atau bermulut lancang mungkin akan menyebabkan kita mengenang filem-filemnya selepas dia tiada lagi.

Begitulah halnya dengan Yasmin Ahmad – nama yang sentiasa meniti di fikiran kita apabila membincangkan filem Melayu era moden dan era warna. Namun Yasmin ini istimewa, kita mengenangnya kerana filem dan peribadi.

Sebelum benar-benar aktif dalam filem dan ketika aktif juga, Yasmin sudah pun menghiburkan kita dengan pelbagai iklan mencuit jiwa, khasnya dari Petronas. Yasmin memberikan kita nafas baru ketika menonton iklan.

Jika biasanya kita menganggap iklan sebagai sela pada waktu lapang untuk stesen televisyen mengutip laba daripada arus komersial, namun dengan iklan Yasmin kita dijentik dengan perihal manusiawi yang menggoncang tubuh akal kita.

Yasmin memberikan kita pemahaman tentang pemaparan masyarakat yang sangat indah melalui pelbagai kemelut. Ia seperti sebuah pembentangan psikologi tentang bagaimana interaksi manusia itu berlangsung, bagaimana hubungan keluarga, bagaimana hubungan kekasih.

Pada kala soal hubungan sangat sukar untuk melalui fasa yang benar dalam sinema kita, Yasmin membawakannya dengan jujur.

Kita sendiri menjadi saksi bagaimana iklan seperti Ombak Jahat, Al-Kisah Janda Beranak Tujuh dan Burung Murai memperlihatkan bagaimana penerokaan hubungan manusia itu melalui fasa yang sangat menyenangkan.

Kita diberikan kefahaman menarik dalam tempoh yang sekejap dan kemudian kita puas menyaksikan hubungan manusia dipaparkan sejujur itu.

Apabila Yasmin memulakan langkah dengan filem pertamanya Rabun pada 2003, kita semua tahu akan anjakan dan mungkin juga nafas segar dalam sinema Malaysia.

Kita akan kembali berpijak kepada realiti dengan mengupasnya secara lebih halus namun berani. Itulah yang dilaksanakan Yasmin dalam Rabun. Selepas itu kita akan sentiasa menunggu bila lagi orang ini akan mengarahkan filem.

Selang dua tahun kemudian, sekali lagi langkah berani Yasmin memberikan pengertian besar kepada sinema Malaysia. Yasmin mencantumkan percintaan lelaki Cina dan perempuan Melayu dalam Sepet pada 2005. Kita diperkenalkan dengan karakter ikonik, Orked dan Jason yang kemudiannya menjadi malar segar antara romantik terbaik yang pernah dibikin di Malaysia.

Lebih menarik kedua-dua karakter ini sentiasa dibawakan Yasmin dalam dua filem berikut beliau, Gubra dan Mukhsin. Dilema dan segala macam tabu hubungan kaum disentuh dengan bersahaja dan membuatkan kita kadangkala seperti mentertawakan diri sendiri.

Gubra yang dihasilkan pada 2006 pula boleh disifatkan agak unik kerana ia antara filem Yasmin yang menerima kritikan hebat dan dalam masa sama menerima penghargaan. Keadaan ini mungkin membenarkan kata-kata Nasir Jani bahawa filem yang hebat ialah filem yang sering diperkatakan, melalui perdebatan dan polemik yang berpanjangan.

Dalam hal Gubra, Yasmin meraikan sifat kemanusiaan secara lebih besar, kasih sayang dan penghargaan dijadikan tunjang menyalakan perasaan sesama manusia dan makhluk. Sama ada kita pelacur atau kita seorang bilal atau mungkin seekor anjing kita berkongsi Tuhan yang sama dengan sinar kasih dari hati yang tulus.

Begitulah keindahan falsafah dalam Gubra, sama seperti apa yang diletakkan Yasmin di hujung filem berkenaan, sebuah kata-kata hikmat dari ahli sufi terkenal, Rumi – The lamps are different, but the Light is the same.

Mukhsin yang dibikin pada 2007 menjadi detik penting dalam dunia sinema Yasmin dan ia dianggap sebagai antara filem terbaik Malaysia. Melihat kehidupan dari kaca mata kanak-kanak membawakan kita dimensi penceritaan unik dan mencengkam jiwa.

Agak menarik untuk kita melihat dinamika dan gelora masyarakat Melayu dari pelbagai kategori dan taraf. Yasmin memberikan kita bagaimana rumah ialah tempat bermula segala-galanya. Kanak-kanak yang dibentuk dengan persekitaran bagaimana ialah penghasilan untuk generasi kita yang mendatang.

Mukhsin sekali lagi melihatkan kekuatan Yasmin bercerita tentang hubungan manusia. Ia jelas menjadi tema penting dalam setiap filemnya, selain nilai universal dan kasih sayang yang mekar serta subur.

Mukhsin berjaya menarik perhatian Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 dan menerima pujian ramai. Kita juga pasti akan ingat babak Keroncong Hujan dalam filem ini yang kelihatan seperti homaj kepada apa yang dibikin P Ramlee dalam Antara Dua Darjat.

Pada 2008, kontroversi sekali lagi menyelubungi Yasmin apabila beliau membawakan sebuah kisah menyentuh mengenai perbandingan agama dan kepercayaan manusia, Muallaf. Keberanian Yasmin sebenarnya nikmat besar buat Malaysia apabila mampu mengecap filem yang mencabar pemikiran seperti Muallaf.

Keterbukaan seperti ini menjadikan Yasmin pembikin filem unik dan kasih sayang terus melekat dalam filem ini sebagai tanda utama daripada Yasmin.

Agak canggung untuk kita melihat bagaimana kebanyakan kritikan keras terhadap filem ini mengabaikan kekuatan visual dan sinematiknya. Yasmin kukuh dalam kerangka kepelbagaian budaya bagi mengangkat Malaysia dalam bentuk sebegitu. Ia realiti yang sukar dilihat oleh mereka yang enggan melihat dengan jujur.

Tahun 2009 menjadi tahun duka untuk sinema Malaysia. Walaupun pada awalnya Yasmin memberikan kita Talentime, sebuah kisah yang berputar kepada kisah pergolakan remaja dengan bertaut kemas kepada kritikan sosiopolitik dan sekali lagi merungkai isu perbezaan agama serta kaum.

Yasmin mengukuhkan keadaan filem ini dengan elemen biasanya yang universal. Kita merasakan dengan jelas kemajmukan Malaysia dan jika benar kita mahu melihat Malaysia melalui sisi pandang seorang yang jujur terhadap masyarakatnya, maka filem-filem Yasmin adalah yang terbaik untuk kita.

Namun tidak lama Tuhan meminjamkan Yasmin untuk kita, cukup dengan enam filem itu, Yasmin pun dibawa pergi oleh Yang Maha Pengasih. Pada 25 Julai, 2009 Yasmin hilang dari mata kita semua. Namun begitu, selepas 10 tahun, karya-karyanya masih wujud dan kekal dalam hati kita.

Pada kesempatan terbaik ini, haruslah kita meraikan Yasmin dengan lebih besar. Sepuluh tahun pemergiannya bukanlah sebuah pemergian yang kosong, namun ia merupakan warisan sejagat untuk kita.

Yasmin bersungguh-sungguh tentang negaranya. Kejujuran karyanya amat bermakna buat Malaysia yang kita cintai ini. Hidupkanlah karya-karyanya, hiduplah sepanjang mana pun.

Terima kasih, Yasmin. – 27 Julai, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen