Pelanggan tahu gula tinggi dalam teh boba


Nabihah Hamid

RATA-RATA pengguna sedar minuman teh dengan bebola ubi kayu dikenali dengan nama teh boba mengandungi banyak gula dan tidak akan mengambilnya dengan kerap.

Pengguna ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka mengehadkan pembelian minuman yang popular di kalangan anak muda itu bagi memastikan kesihatan terpelihara. 

“Kandungan gulanya lebih banyak daripada minuman berkarbonat tetapi kita minum tak banyaklah. Seminggu itu sekali minum,” kata Adibah Ahmad, 26, seorang kakitangan swasta di Subang.

Seorang lagi pengguna, Amalina Roshdi, 27, turut mengakui bahawa kandungan gula dalam minuman tersebut sangat tinggi dan mengurangkan pembeliannya.

“Sebab itu saya memang tak beli setiap hari. Sebulan sekali OK lah. Kita kena seimbang, minum air kosong juga,” kata pegawai teknologi maklumat itu.

Perkara sama diakui Shawn Soo, seorang jurujual berusia 30 tahun yang berkata pengambilan sekali dua dalam tempoh seminggu masih lagi baik untuk kesihatan.

“Jangan minum dengan banyak. Kalau anda minum seminggu sekali atau dua kali, Ok lah. Kalau minum setiap hari tetapi (berbahaya),” kata Shawn Soo, jurujual berusia 30 tahun itu.

Seorang warga emas, May Long Poo, 68 juga berkata beliau tidak mengambil minuman Teh Boba secara berlebihan meskipun tidak menghidap diabetes.

“Saya tualah, tiada minum banyak. Sikit-sikit sahaja. Saya suka makan itu bebola. Sangat sedap,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menasihati pengguna agar mengelak minuman mengandungi gula berlebihan seperti teh susu mutiara atau bubble tea.

Minuman ini didapat mempunyai kandungan gula hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan pengambilan lapan sudu teh dalam sehari, katanya.

Kenyataan itu timbul ekoran kajian kementerian yang menunjukkan 73% kematian rakyat Malaysia disebabkan penyakit tidak berjangkit termasuk termasuk sakit jantung dan kencing manis.

Malaysia merekodkan jumlah rakyat obes paling ramai di Asia Tenggara kerana satu daripada setiap dua orang rakyat negara ini didapati mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Bagaimanapun, pengusaha teh boba yang ditemui memberitahu The Malaysian Insight, tidak semua jenama teh tersebut menggunakan banyak gula.

MK Chin, 48, pengusaha teh boba Feng Cha. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

Pemilik Feng Cha, MK Chin, 48, berkata beliau mengurangkan penggunaan gula dalam produknya dan memilih gula perang dan gula batu yang didakwa kurang berbahaya berbanding gula pasir.

“Kita gunakan gula batu dan bukan seperti gula pasir. Jangan takut, jenama teh boba yang bagus pakai gula batu,” katanya yang baru sebulan membuka operasi kedainya di Subang Jaya, Selangor.

Pemilik kedai The Whale, Danny Ng, 26, juga berkata beliau mengurangkan kandungan gula dalam sajian produk teh dan susu itu.

“Produk kita kurang manis berbanding yang lain. Yang kita fokus walaupun guna gula perang, kita fokus pada rasa dan bukannya kemanisan. Kita pakai susu segar. 

“Penyedut minuman pun kita pakai yang mesra alam semula jadi,” katanya yang baru beberapa hari membuka kedai di Subang Jaya. – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen