MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menasihati pengguna agar mengelak makanan dan minuman yang mengandungi gula berlebihan seperti teh susu mutiara atau bubble tea, yang sedang meningkat popular di pasaran sekarang, jika sayangi keluarga mereka.
Minuman seperti teh susu mutiara mempunyai kandungan gula hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan pengambilan lapan sudu teh dalam sehari, katanya.
“Bukan saja bubble tea, termasuk semua bahan dan produk melebihi gula. Saya sedar bubble tea minuman yang agak popular, ada gula melampaui paras iaitu 500ml mengandungi sehingga 20 sudu teh gula, sementara cadangan pengambilan gula yang dibenarkan adalah lapan sudu teh untuk pengambilan sehari, itu hasil pembacaan saya.
“Dengan itu, saya nasihatkan paling mustahak, sebagai pengguna yang cerdik perlu lebih bijak mendapatkan informasi berpengetahuan supaya tidak mengambil produk seumpama ini walau betapa canggihnya dan menarik sebagai contoh bubble tea,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen “Kurangkan Gula Hidup Sihat” di pasar raya besar Giant di Subang Jaya, hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata langkah terbaik yang boleh pengguna lakukan ialah dengan tidak mendedahkan ahli keluarga kepada makanan dan minuman dengan kandungan gula yang tinggi.
“Kami mahu pengguna ambil pencerahan dan tanggungjawab untuk tidak dedahkan anak atas apa jua makanan seperti ini, termasuk bubble tea,” kata Dr Dzulkefly.
Mengenai cukai gula sebagai langkah kawalan, beliau berkata kementerian belum berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan syarikat dan pengusaha bubble tea.
“Dari sudut agenda, kami lahirkan masyarakat sihat… elakkan obesiti dan kegemukan. Kami harap pengusaha respons kembali dan fahami agenda kami,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata rakyat Malaysia berhadapan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang membimbangkan seperti darah tinggi, penyakit kardiovaskular, dan kencing manis, yang juga penyakit pembunuh senyap.
Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan 73% kematian rakyat Malaysia disebabkan NCD, kebanyakannya akibat penyakit kardiovaskular termasuk sakit jantung dan angin ahmar.
“Salah satu faktor risiko terbesar bagi NCD adalah obesiti dan ia merupakan isu global, statistik juga menunjukkan Malaysia adalah negara mempunyai rakyat paling obes di Asia Tenggara.
“Pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan kalori tinggi dan akhirnya mengakibatkan obesiti,” kata Dr Dzukkefly.
Kementerian Kesihatan juga mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti, tambahnya. – 25 Julai, 2019.
Komen