Umno-PAS tandatangan piagam bersama 14 September


Piagam bersama Umno-PAS sudah dijangka selepas kedua-dua parti yang pernah bermusuh itu menjadi rapat selepas Umno buat pertama kalinya kalah dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

UMNO dan PAS akan menandatangani piagam bersama pada 14 September ini untuk membentuk satu pakatan pembangkang Melayu-Islam baharu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15, umum kedua-dua parti dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Piagam akan ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Perjanjian persefahaman tersebut sudah dijangka selepas kedua-dua parti yang pernah bermusuh itu menjadi rapat selepas Umno buat pertama kalinya kalah dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan piagam Umno-PAS akan dimeterai pada September ini. Piagam itu asalnya dirancang ditandatangani pada Ogos tetapi ditunda kerana jadual ketat pemimpin Umno yang terlibat dengan mesyuarat bahagian. 

Dalam kenyataan bersama hari ini, Setiausaha Agung Umno dan PAS, Annuar Musa and Takiyuddin Hassan berkata majlis tandatangan tersebut akan disertai dengan satu memronadum persefahaman.

“Umno dan PAS telah mencapai kata sepakat untuk berkerjasama (berta’awun) antara satu dengan lain dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah
air,” menurut kenyataan itu.

PAS dan Umno dianggarkan mempunyai antara 3.5 hingga 4 juta ahli Melayu-Islam, yang membentuk 61% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Kerjasama Umno-PAS menetapkan matlamat untuk menumbangkan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. – 25 Julai, 2019.    

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen