UMNO dan PAS akan memeterai perjanjian kerjasama antara dua parti September ini, selepas dokumen itu dipersetujui minggu lalu, kata kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, perjanjian itu ditangguhkan sehingga September kerana jadual pemimpin Umno yang padat sepanjang Ogos ini.
“InsyaAllah, piagam akan ditandatangani bersama dalam bulan September ini.
“Ini kerana sepanjang Ogos, Umno mempunyai program perasmian mesyuarat agong (peringkat bahagian) sehingga akhir bulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Machang di Kelantan, semalam, juga berkata piagam kerjasama dua parti itu akan ditandatangani dalam masa terdekat.
Katanya, piagam itu akan ditangani oleh presiden kedua-dua parti, selepas Umno dan PAS memuktamadkan perjanjian pada Rabu lalu, 17 Julai.
“Insya-Allah kita akan menyaksikan penandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS ini dalam waktu terdekat,” katanya, dipetik portal Umno Online.

The Malaysian Insight difahamkan Majlis Tertinggi Umno juga akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan piagam berkenaan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan piagam tersebut merupakan garis panduan bagi melancarkan kerjasama parti.
“Yang pentingnya dari segi kerjasama program kita sudah lama ada aktiviti bersama dengan PAS. Misalnya ceramah perpaduan ummah, peringkat akar umbi dan sebagainya.
“Saya percaya banyak lagi program bersama pada raya haji (Aidiladha). Cuma piagam itu adalah formaliti dan garis panduan yang lebih jelas di peringkat nasional dan negeri mahupun bahagian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selain kerjasama rasmi, piagam Umno dan PAS ini dijangka menggariskan tiga perkara yang dipersetujui bersama iaitu pilihan raya, isu melibatkan kepentingan Melayu-Islam dan isu di peringkat Parlimen.
Umno dan PAS menjalinkan kerjasama bermula di beberapa pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.
Dua parti utama Melayu itu kemudiannya bersama-sama menggerakkan kempen atas nama penyatuan ummah melibatkan isu kepentingan Melayu dan Islam.
Mereka mengukuhkan kerjasama itu ketika ada sentimen negatif dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan di bawah Pakatan Harapan yang didakwa meminggirkan kepentingan Melayu dan Islam. – 23 Julai, 2019.
Komen