Bisnes merosot 30%, persatuan kedai mamak gesa lagi tempat khas merokok 


Nabihah Hamid

Persatuan pengusaha kedai kopi mendakwa satu daripada lima pengusaha tutup kedai kerana mengalami kerugian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

PENGUSAHA kedai makanan India Muslim sekali lagi merayu kerajaan menimbang cadangan mewujudkan zon merokok yang terkawal, hampir tujuh bulan selepas pelaksanaan larangan merokok di tempat makan.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendedahkan purata pendapatan ahlinya merosot sampai 30% sejak larangan merokok di tempat makan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Presiden Presma Ayoob Khan Muhammad berkata pertimbangan kerajaan itu adalah untuk menyelamatkan hampir 4,000 pengusaha kedai makan India Muslim supaya tidak lumpuh.

“Pelanggan yang melepak sudah kurang. Kerajaan perlu pertimbang kita sediakan ruangan merokok… kena timbang balik.

“Sekarang, margin (untung) kurang (tetapi) kos tidak kurang dan kita kena bayar pekerja sama saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nazrin Shah, pemilik Restoran Fatima Gous di Sungai Buloh, Selangor adalah antara 4,000 pengusaha kedai makan yang mengalami kerugian, seperti yang disebut oleh Presma.

“Jualan turun 40 peratus. Ramai pelanggan yang merokok pun mengadu mereka susah (hendak makan di kedai). Nasib baik kita ada jual makanan yang lebih pelbagai.

“Apa pun setakat ini, keuntungan memang sikit tapi kos kita tanggung sama sahaja,” katanya.

Di bawah peraturan larangan merokok, tempat makan diwartakan sebagai zon larangan merokok mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan ribuan pengusaha kedai kopi gulung tikar kerana tidak mampu bertahan selepas kehilangan pelanggan yang rata-ratanya perokok.

Persatuan pengusaha kedai kopi mendakwa satu daripada lima pengusaha tutup kedai kerana mengalami kerugian.

Di bawah peraturan larangan merokok, tempat makan diwartakan sebagai zon larangan merokok mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Individu hanya dibenarkan merokok di kawasan tidak kurang 3 meter dari garis akhir kawasan tempat makan, termasuk di tempat terbuka.

Kementerian Kesihatan sepatutnya mula mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang melanggar peraturan itu pada 1 Julai lalu, namun ditangguhkan sehingga 1 Januari tahun depan.

Bagaimanapun tidak semua pengusaha kedai makan India Muslim mengeluh dengan larangan merokok, sebaliknya akur dan berubah seiring dengan peraturan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan. 

Awal Januari lalu, rangkaian restoran Nasi Kandar, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) memberhentikan penjualan rokok di semua premisnya di seluruh Malaysia selepas larangan merokok berkuat kuasa.

Pemberhentian itu melibatkan nilai jualan sehingga RM300,000 sebulan, lapor Berita Harian.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan reaksi kementerian berkenaan mengenai hal ini. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen