KETUM mendapat nama buruk selama ini kerana disalahguna oleh pihak yang mencampur bahan lain untuk memberi kesan khayal, kata pengkaji Universiti Sains Malaysia Dr Darshan Singh.
Menurutnya, tumbuhan itu juga dianggap berbahaya disebabkan gambaran yang diberikan oleh sesetengah penyelidik dan laporan media yang tidak jelas berkenaan hal ini.
Selain itu, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi isu tersebut demi kepentingan tertentu, katanya lagi kepada The Malaysian Insight.
Walhal ketum di Malaysia sudah lama digunakan secara selamat oleh penduduk negara ini dengan cara meminum air rebusan tumbuhan itu, jelasnya.
Menurutnya, antara golongan pengguna utamanya adalah golongan buruh yang melakukan kerja berat serta kumpulan yang menggunakannya untuk mencuba merawat penyakit.
Sejak akhir-akhir ini, ia juga banyak digunakan oleh penagih yang mahu keluar dari belenggu dadah, katanya yang menjalankan kajian berkenaan potensi tersebut, katanya.
Namun beliau kesal kerana golongan yang menjadi perhatian adalah remaja yang menyalahgunakan ketum untuk berekreasi dengan mencampurkan bahan lain seperti ubat batuk dan dadah lain.
“Kita cuma nampak masalah cakoroi,” katanya, merujuk kepada nama air rebusan ketum yang dicampur bahan terlarang itu.
“Saya sebagai penyelidik ketum, buat masa ini percaya ketum tidak berbahaya. Ia hanya berbahaya jika dicampur dadah lain dan ubat batuk,” katanya.
Menurutnya, gejala itu sama dengan dengan kes penyalahgunaan di Amerika Syarikat yang turut dikaitkan dengna penggunaan ketum.

Dianggarkan, lebih 1 juta individu di negara itu menggunakan ketum pada 2018 dan terdapat kes kematian di AS yang dikaitkan dengan penggunaan ketum.
Namun menurut Dr Darshan, bahan kratom yang didakwa sebagai ketum itu adalah ketum tiruan yang dicampur dadah larangan dan diproses menjadi serbuk dan tablet.
“Banyak kes keracunan ketum berlaku akibat penggunaan ketum tiruan atau daun ketum dalam bentuk serbuk yang dicampur bahan lain dan dijual di Internet.
“Apabila gunakan mereka akan alami masalah toksik dan berlaku kematian, dalam kes kematian di AS, dalam sistem tubuh mereka kita temui bukan hanya ketum.
“Kita jumpa lebih daripada tujuh hingga lapan jenis dadah larangan lain, yang lain mungkin mengakibatkan kematian mereka,” katanya.
Beliau menjalankan kajian dengan penyelidik Amerika Syarikat, Christopher McCurdy yang berpengalaman mengkaji ketum selama 15 tahun.
Antara lain, kajian itu meneliti potensi ketum untuk merawat ketagihan opioid yang meragut 115 nyawa di Amerika Syarikat setiap hari.
BACA: Belenggu ketagihan heroin musnah dengan ketum
Mengulas lanjut, Dr Darshan berharap kerajaan tidak akan bertindak terburu-buru untuk mengharamkan ketum kerana akan menyekat potensi tumbuhan tersebut.
“Saya bimbang jika ketum dimasukkan dalam akta dadah berbahaya. Sekarang diletakkan di bawah Akta Racun, itu OK sebab nak kawal.
“Kalau datang dengan undang-undang baru, mereka tidak boleh tanam ketum, ia akan jejaskan kehidupan dan keadaan ekonomi penanam ketum,” kata Dr Darshan.
Malah, penguatkuasaan yang melampau juga akan membantutkan kajian yang dijalankan USM selama ini, katanya.
“Kalau nak ketatkan undang-undang kami tak boleh buat kajian sebab orang tak nak tanam ketum lagi,” katanya.
Oleh itu, pandangan semua pemegang taruh perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat, katanya.
Kerajaan pada awal bulan ini mengumumkan cadangan untuk meminda Akta Racun 1952 untuk menangani penyalahgunaan ketum dalam negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, pindaan itu dijangka akan menangani isu bekalan, eksport dan penanaman ketum.
Bagaimanapun cadangan pindaan itu dijangka tidak akan menggalakkan penanaman ketum secara besar-besaran kecuali untuk tujuan kajian, katanya.
Penguatkuasaan ke atas penjualan dan pengedaran ketum juga masih giat dijalankan pihak berkuasa.
Pada Jumaat lalu seorang lelaki ditahan polis di Teluk Intan kerana disyaki mengedar daun ketum seberat 225 kilogram yang dianggarkan bernilai RM12,250. – 31 Julai, 2019.

Komen