SELEPAS 40 tahun dibelenggu dengan ketagihan heroin, Mohd Saad Che May akhirnya berjaya meninggalkan tabiat itu selepas mengambil ketumsebagai rawatan alternatif.
Pada usia hampir 65 tahun, Mohd Saad yang mesra disapa dengan nama Pak Lang kini bertugas sebagai bilal di surau berhampiran kediamannya, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Hidupnya kini lebih tenang, berbanding sewatu berusia 20-an, ketika mula-mula terjebak dengan heroin akibat terpengaruh dengan rakan sebaya, katanya.
“Malu nak cerita, tapi itulah hakikatnya. Selama 40 tahun saya terlibat dengan dadah jenis heroin.
“Keluar masuk pusat serenti dan penjara itu biasa bagi saya. Kalau nak kira, hampir 20 kali saya sudah keluar masuk penjara dan pusat serenti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Keadaan itu berlarutan sehingga pusat serenti tidak lagi menerima penagih tegar sepertinya disebabkan faktor usia, kata Pak Lang.
Sejak itulah beliau mula menjadikan ketum sebagai rawatan alternatif untuk menghentikan penagihan heroin dan 10 tahun kemudian Pak Lang bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Bila kena (minum air) ketum, dadah tak ingat lagi dah. Ketum ini untuk perubatan,” katanya ketika menceritakan khasiat tumbuhan itu dalam merawat penyakitnya.
Jelasnya, bahan dalam ketum itu membolehkannya melawan rasa gian untuk mengambil heroin dan mengelakkan rasa sakit badan apabila tidak mendapat dadah tersebut.
“Bila berhenti ambil dadah, sakit sana, sakit sini, rasa gian. Tetapi apabila ambil ketum tidak ada masalah,” katanya.
Katanya keadaan itu amat teruk ketika berada di pusat serenti atau penjara kerana tidak diberikan ubat untuk menahan rasa ketagihan.
Dalam tempoh rawatan seperti itu, rasa gian tersebut akan berlarutan untuk tempoh tidak sampai sebulan dan beliau akan berasa bebas dari ketagihan.
Bagaimanapun ia tidak bertahan lama dan beliau akan kembali dibelit ketagihan heroin yang menyebabkannya berulang kali memasuki pusat tahanan.
“Keadaan masa gian itulah yang susah dilawan. Kalau tak keras hati tak boleh lawan,” katanya, menceritakan detik awal proses pemulihan daripada ketagihan heroin.
Pak Lang berkata, selepas mengambil ketum, beliau tidak lagi bergantung kepada heroin namun pada masa sama beliau juga tidak ketagih ketum.
“Selepas minum ketum tidak ada apa (ketagih). Langsung tidak ingat (pada heroin). Ketum juga tidak ada apa (kesan) bagi diri saya.
“Dulu lebih dari ketum saya dah kena. Ketum ini normal, tidak ada kesan sampingan lagi,” katanya.
Pak Lang menganggotai Persatuan Pencinta Herba Pulau Pinang (PPHPP) yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan ke atas kesan ketumdalam merawat ketagihan dadah.
Persatuan itu ditubuhkan bagi melindungi tanaman herba daripada pupus selain memastikan penggunaan herba tidak disalahguna bagi tujuan lain selain perubatan tradisional.
PPHPP bekerjasama secara langsung dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kajian terhadap penggunaan ketum bagi memahami tumbuhan herba itu secara mendalam.
Pengerusi PPHPP, Abdul Halim Iberahim berkata, beliau mula membantu proses rawatan Pak Lang sejak enam tahun lalu.
“Bagi rawatan penagihan dadah, mereka perlu lebih kerap membuat rawatan supaya boleh mengurangkan ketagih dadah.
“Pada peringkat awal kita beri jumlah kadar ketum yang lebih tinggi dan secara beransur-ansur kita kurangkan dos,” katanya.
Abdul Halim yang ditemui di Pusat Penyelidikan Ketum Pulau Pinang berkata, selepas empat bulan menerima rawatan, penagih dadah tegar seperti Pak Lang akan berupaya meninggalkan dadah.
“USM buat kajian dengan penagihan dadah. Kita juga adakan kerjasama dengan USM untuk buktikan ketum tidak memudaratkan manusia,” katanya.
PPHPP ditubuhkan sejak tiga tahun lalu berperanan menjadi penghubung antara pihak universiti dan pengguna dan penanam ketum bagi membolehkan kajian dijalankan.
Persatuan dengan 600 keahlian itu akan menyediakan responden dan bahan yang diperlukan USM untuk melengkapkan kajian mereka.

Abdul Halim, 62, berkata kepada The Malaysian Insight, persepsi negatif yang diterima ketum adalah berpunca daripada penyalahgunaan herba itu oleh segelintir individu.
“Kita tak galakkan ketum dicampur sebarang bahan lain, kecuali ketum dan air panas sahaja.
“Nama ketum tercemar akibat salah guna. Kerajaan patut kawal penggunaan ketum, dan cara penanaman, jadi itu satu langkah yang baik,” katanya.
Tambahnya, pengharaman ketum secara menyeluruh tanpa kajian mendalam mengakibatkan munculnya ketum sintetik yang lebih berbahaya.
“Kalau kita haramkan, akan ada ketum sintetik, campuran yang kita tak tahu apa bahan dia.
“Ketum ini belum ada yang minum jadi mudarat, ada kebaikan tapi disalah guna,” katanya yang bimbang khazanah negara itu akan terhapus sekiranya diharamkan.
Terdapat kira-kira 10 jenis pohon ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa di Malaysia, termasuk ketum jambu, urat merah, urat hijau, ekor kura, gajah dan bali.
Namun, ketum urat merah dan urat hijau dipercayai mempunyai khasiat terbaik bagi tujuan rawatan penyakit, katanya.
Abdul Halim berkata, ketum Malaysia, terutamanya dari kawasan utara Perlis sehingga Sungkai, Perak adalah yang terbaik di dunia disebabkan kandungan bahan aktif yang tinggi.
Dua bahan aktif utama adalah sebatian mitragynine and 7-hydroxymitragynine, yang dikaji untuk potensi sebagai penahan sakit, merawat stress akibat trauma dan ketagihan opioid.
Bahan aktif dalam tumbuhan ketum di tanah air ini juga dipercayai enam kali lebih tinggi daripada ketum yang tumbuh di Thailand dan Indonesia, katanya.
Beliau juga percaya ketum berpotensi merawat penyakit kronik seperti diabetes dan kanser sekiranya kajian dapat dijalankan secara mendalam.
Seorang lagi pengguna, Zainabudin Harun, 56 berkata ketum mendapat nama buruk kerana disalahguna oleh individu yang mencampurkan dadah lain untuk menimbulkan unsur khayal.
__full.jpg)
Bagi individu yang menggunakan ketum untuk merawat penyakit, tindakan sedemikian hanya memburukkan nama tumbuhan itu katanya.
“Mana yang ketagih minum ketum itu yang sudah dicampur, merek bukan ketagih ketum, itu ketagih benda lain. Ubat batuk, ubat nyamuk semua mereka campur,” katanya.
Pemilik kebun bunga itu berkata, beliau mengamalkan meminum dua hingga tiga gelas air ketum sehari sebagai diet harian sejak berusia 11 tahun untuk mengekalkan kesihatan.
“Saya uruskan kebun bunga seorang diri, sentiasa cergas, tiada penyakit kronik. Alhamdulillah susah nak sakit.
“Orang cerita sakit kepala, demam makan panadol. Apa itu panadol, saya tak pernah tengok pun,” kata ibu kepada tiga anak itu lagi. – 31 Julai, 2019.
Komen