Syed Saddiq perlu laporkan kepada SPRM, kata Guan Eng 


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata ia termaktub dalam Akta SPRM untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

KETUA Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Abdul Rahman yang mendakwa ditawarkan sogokan oleh pembantu perdana menteri untuk meninggalkan Pakatan Harapan sekali lagi digesa melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha agung DAP yang juga timbalan presiden PH Lim Guan Eng hari ini berkata Syed Saddiq sepatutnya memfailkan laporan mengikut undang-undang. 

“Saya tidak terkejut (bahawa Syed Saddiq mendakwa ditawarkan rasuah). Dia perlu lapor kepada SPRM. 

“Ia termaktub dalam Akta SPRM untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Komtar selepas diminta mengulas berhubung perkara itu.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata semua orang berminat untuk mengetahui identiti pembantu yang menawarkan wang kepada Syed Saddiq. 

“Mengapa media tidak menyiarkan nama pembantu itu?”

Semalam, Syed Saddiq, 25 mendedahkan dalam satu sidang media dia ditawarkan RM5 juta oleh penasihat kanan kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk meninggalkan negara dan meneruskan pengajian di Universiti Oxford.

Katanya, beliau bagaimanapun enggan meninggalkan parti dan mahu terus mendedahkan rangkaian aktiviti rasuah yang sistematik.

Syed Saddiq mendakwa mempunyai bukti dakwaan rasuah dan kini berbincang dengan peguamnya sebelum membawa perkara itu kepada SPRM.

Beliau turut menamakan individu terbabit, yang menawarkannya sogokan, namun ia tidak didedahkan.

Pengguna media sosial turut menggesa Syed Saddiq untuk melaporkan kepada SPRM.

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata Syed Saddiq bukan orang pertama yang ditawarkan dorongan untuk meninggalkan kubu pembangkang.

“Ini memang usaha Umnolah. Terutamanya pembantu Najib seorang ni. Dialah orangnya yang selalu cuba beli orang,” katanya kepada The Malaysian Insight malam tadi.

Sementara itu Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai PKR turut mendakwa terdapat beberapa ahli parlimen dalam partinya turut ditawarkan wang sebagai dorongan untuk meninggalkan parti. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen