Amanah sahkan Khalid Samad bertanding di Johor


Yasmin Ramlan

Amanah mengesahkan Khalid Samad akan meninggalkan kerusinya di Shah Alam bagi bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

AMANAH mengesahkan Khalid Samad akan meninggalkan kerusinya di Shah Alam bagi bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bagaimanapun, timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan kerusi mana pengarah komunikasi parti itu akan ditempatkan di Johor.

“Kalau Khalid (bertanding) di Johor tak semestinya dia mesti (bertanding) di JB (Johor Bahru) sebab itu kerusi PKR bukan kerusi PAS dulu,” katanya di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada ahli Parlimen Shah Alam itu akan bertanding di kerusi abangnya, Shahrir di Johor Bahru, beliau menjawab perkara itu ada kemungkinan tetapi ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH terlebih dulu.

“Kemungkinan… semua boleh berlaku tapi semuanya akan diputuskan oleh Pakatan Harapan.

“Kita tak akan umumkan sebelum kita dapat endorsement daripada Majlis PH. Tapi kita boleh cadangkan,” katanya.

Shahrir mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal terakhir ini, majoriti yang dimenangi beliau dalam pilihan raya 2004, 2008 dan 2013 merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Selepas menang dengan majoriti besar 46,792 pada 2004, Shahrir menang hanya 10,134 pada 2013, berkurangan lagi selepas menang 25,349 pada 2008.

Pada Mac 2016 Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu menyatakan beliau bercadang untuk bersara daripada politik selepas lebih 40 tahun bergiat aktif. Beliau menyertai politik pada 1973.

Beliau membuat pengumuman itu dua hari selepas Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keyakinan pakatan pembangkang itu akan merampas Johor daripada BN.

Salahuddin berkata, PH akan memastikan pemimpin yang berpengaruh bertanding di kubu kuat Umno itu, memandangkan mereka akan menjadikan negeri Johor sebagai barisan hadapan PH.

“Kita telah bersedia untuk turunkan tokoh-tokoh besar lain dan tak dinafikan Amanah akan memastikan Khalid Samad ke Johor bagi mengukuhkan lagi parti untuk beri kemenangan Pakatan Harapan di Johor.

“Dan beberapa tokoh lain sedang difikirkan selain Amanah untuk memperkemaskan jentera di Johor,” katanya.

Khalid yang merupakan bekas pemimpin PAS sebelum ini, memenangi dua penggal kerusi Shah Alam dengan majoriti 9,314 pada 2008 dan meningkat dengan menang majoriti 10,939 pada 2013.

Sebelum ini dilaporkan Amanah Selangor mencadangkan kerusi Khalid di Shah Alam akan ditandingi oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang berasal dari Kedah.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan pengagihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti komponen dalam PH pada PRU nanti.

Katanya, PH yakin akan dapat menawan negeri lahirnya Umno dengan adanya pemimpin berpengaruh iaitu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sambil mengutuk kepimpinan Menteri Besar Khaled Nordin yang gagal menyelesaikan isu-isu di Johor.

Muhyiddin merupakan ahli Parlimen Pagoh yang juga bekas timbalan perdana menteri dan disingkirkan pada 2015 kerana lantang bersuara mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Khaled Nordin adalah satu kepimpinan yang membosankan, yang saya sebut ‘leadership fatigue’.

“Saya lihat Khaled banyak diam diri tentang projek luar khususnya dari China dengan tanah yang semakin tinggi dan isu rumah mampu milikyang tak dikendalikan dengan begitu baik.

“Jadi rakyat perlu yakin dengan kepimpinan PH dan Muhyiddin dan kita semua (parti komponen PH),” katanya. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen