Shahrir Samad tak jadi bersara, minat pertahan kerusi Johor Bahru


Shahrir Samad mengumumkan minat mahu mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru pada pilihan raya umum ke-14, walaupun tahun lalu pernah membayangkan akan bersara daripada politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2017.

SHAHRIR Samad, yang setahun lalu membayangkan mahu bersara dari politik, malam tadi mengumumkan minat mahu mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, lapor BH Online.

Katanya, beliau bersedia berdepan dengan nama-nama besar dalam pembangkang yang semuanya menunjukkan kesungguhan mahu melanggar Johor, yang selama ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Pada awal, saya ramal PRU14 pilihan raya mudah, tetapi apabila dah dengar macam-macam (nama) semua hendak datang Johor termasuk Khalid Samad.

“Kalau semua berminat dengan Johor, saya pun berminat berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya, seperti dipetik oleh portal berita akhbar itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel jemputan Program Dialog Perjuangan 4 All di Dewan Kompleks Yayasan Warisan Johor di Johor Bahru, malam tadi.

Khalid yang disebut oleh Shahrir itu adalah adiknya sendiri, yang kini ahli Parlimen Shah Alam dan juga Pengarah Komunikasi Amanah. Khalid menang kerusi Shah Alam itu atas tiket PAS.

Shahrir juga menyebut alasan beliau membatalkan hasrat bersara itu kerana pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah mengisytiharkan cita-cita merampas Johor untuk membuka jalan tawan Putrajaya.

“Nampaknya kalau Mahathir dengan Muhyiddin, Anwar dan Kit Siang hendak jadikan Johor sebagai ‘front line state’ (negeri barisan hadapan) takkan saya nak undur ke belakang (tidak bertanding),” katanya.

Shahrir membuat pengumumannya itu dua hari selepas Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keyakinan pakatan pembangkang itu akan merampas Johor daripada BN.

“Johor dulu kubu kuat Umno tapi sekarang kita minta supaya jadi kubu kuat PH,” katanya yang juga pengerusi Bersatu pada Jumaat semasa berucap melancarkan Pakatan Harapan Johor di Tampoi.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan penasihat DAP Lim Kit Siang juga sebelum ini beberapa kali menyuarakan keyakinan PH menang beberapa kerusi parlimen di negeri itu, termasuk kerusi Parlimen Johor Bahru.

Shahrir pada Mac 2016 memberitahu wartawan beliau bercadang bersara daripada politik selepas lebih 40 tahun bergiat aktif. Shahrir mula menyertai politik pada 1973.

Ketika itu beliau dilaporkan berkata mahu membuka jalan kepada generasi muda – dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai sindiran langsung terhadap Kit Siang.

“Kita mesti percaya pada generasi muda. Saya tak boleh jadi macam Lim Kit Siang, terus berada dalam politik. Saya juga tidak boleh serah jawatan kepada anak-anak,” katanya.

Beliau kemudian mengulangi hasratnya itu dalam satu majlis di Johor Bahru pada Mei lepas. Katanya, beliau membuat keputusan mahu bersara kerana merasakan masanya sudah sampai untuk berundur dan ini masanya untuk generasi pelapis.

“Kita perlu yakin kepada yang lebih muda untuk teruskan perjuangan. Saya sendiri selalu berkongsi dan menerapkan nilai murni kepada generasi muda kerana saya hanya meneruskan apa yang berlaku sebelum ini.

“Jadi, saya yakin mereka yang mengambil alih Johor Bahru juga akan meneruskan apa yang ada di sini,” katanya, seperti dipetik oleh Sinar Harian.

Shahrir, yang pada zaman awal karier politiknya pernah jadi setiausaha politik kepada Musa Hitam dan Tun Abdul Razak, pertama kali bertanding kerusi Parlimen Johor Bahru pada pilihan raya umum 1978.

Ketika Umno berdepan krisis pada hujung 1980-an, Shahrir dipecat daripada parti itu. Beliau kemudian mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru yang dimenanginya untuk penggal kedua pada pilihan raya 1985 dan memaksa satu pilihan raya kecil diadakan pada 1988.

Shahrir bertanding sebagai calon bebas, dan menang. Beliau bagaimanapun tidak menyertai pemimpin Umno lain yang meninggalkan parti mengikut Tengku Razaleigh Hamzah dalam Semangat 46. Shahrir sebaliknya kembali masuk Umno.

Namun beliau tidak disenaraikan sebagai calon dalam tiga pilihan raya berikutnya – 1990, 1995 dan 1999.

Shahrir hanya bertanding semula dalam pilihan raya 2004 sebagai calon Umno-BN selepas Abdullah Ahmad Badawi jadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Shahrir kemudian dilaporkan menolak tawaran jadi anggota kabinet Abdullah dengan alasan lebih ramai lagi orang yang layak. Beliau kemudian diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara antara 2004 hingga 2008.

Biarpun mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal terakhir ini, majoriti yang beliau menangi dalam pilihan raya 2004, 2008 dan 2013 merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Selepas menang dengan majoriti besar 46,792 pada 2004, Shahrir menang hanya 10,134 pada 2013, berkurangan lagi selepas menang 25,349 pada 2008. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • BUKTI JOHOR BERMASALAH BAGI UMNO DAN NAJIB.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan