PENGERUSI PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Farhash Rizal Mubarak ditahan reman untuk tiga hari lagi sehingga Selasa, kata peguamnya.
Selain Farhash, mahkamah juga membenarkan polis terus menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk tiga hari bersama dua lelaki lain yang ditahan polis malam tadi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed.
“Keempat-empat reman dibenarkan selama tiga hari lagi sehingga 23 Julai ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, peguam Farhash, Baldip Singh berkata pihak polis memohon lebih masa untuk menahan anak guamnya bagi menyiasat aspek wujudnya konspirasi politik dalam penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali.
“Pegawai penyiasat memohon mahkamah tambah hari reman tiga hari lagi bermula esok. Kami telah bantah namun mahkamah telah benarkan.
“Polis memberikan alasan mahu masa untuk mencari video rakaman asal dan barang bukti tambahan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Baldip berjumpa dengan Farhash, yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, selama lebih sejam pada pagi tadi.
Peguam Farhash sebelum ini mendakwa polis tidak membenarkan mereka berjumpa beliau sepanjang ditahan reman.
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman sekiranya perlu kerana siasatan kes itu rumit.
Beliau juga mengesahkan dua lelaki ditahan di Shah Alam semalam bagi membantu siasatan berhubung rakaman seks yang didakwa melibatkan Azmin.
Penahanan terbaru semalam menjadikan semuanya 11 orang ditahan dalam tempoh seminggu sejak Ahad lalu.
Kelmarin, Hamid mengesahkan siasatan polis mendapati rakaman seks yang tersebar adalah tulen tetapi sukar untuk mengaitkannya dengan mana-mana individu seperti didakwa.
Rakaman seks yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim itu mula tersebar melalui WhatsApp pada awal pagi 11 Jun lalu. Haziq kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin pasangannya.
Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.
Minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi penegasannya bahawa penyebaran rakaman seks itu adalah gerakan politik mahu menjatuhkan Azmin. – 20 Julai, 2019.
Komen