.jpg)
SAYA merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik senior berkaitan siasatan video seks yang sedang berlangsung, bahawa pihak yang sedang disiasat perlu mengambil cuti daripada jawatan kerajaan yang disandang dan secara terpilih menekankan kepada keaslian video tersebut.
Sedang siasatan pihak polis makin menjurus menghampiri dalang di sebalik kes ini, terdapat tanda-tanda gelabah dan panik yang jelas di kalangan sesetengah pihak.
Mengapakah sesetengah golongan ahli politik ini saban hari memberi komen mereka sedangkan siasatan polis sedang berjalan dan kian menghampiri kemuncak terhadap pelakunya?
Pihak polis sewajarnya diberikan ruang untuk menjalankan tugasan mereka tanpa sebarang tekanan politik daripada mana-mana pihak.
Saya juga menghidu sikap pilih kasih dalam komen-komen yang dibuat. Video dalam nuansa yang sama juga pada suatu waktu dahulu pernah diedar mengaitkan Anwar Ibrahim.
Pada waktu itu kita semua bersatu hati mengutuk sekerasnya perbuatan ini sebagai konspirasi politik dan politik longkang.
Kini, individu yang pernah mengambil ketetapan tersebut seolah mendukung politik longkang seperti ini dengan kononnya berhujah tentang ketulenan!
Malah lebih teruk lagi, individu yang mendesak cuti sementara daripada posisi tugasan kerajaan ini adalah orang yang sama yang hanya berdiam diri apabila video seks yang melibatkan Anwar ditebar ke seluruh pelusuk negara.
Kesemua kami termasuk Mohamed Azmin Ali berdiri teguh bersama Anwar pada waktu itu.
Dalam semangat reformasi, kami menolak politik longkang yang menjijikkan ini. Apa yang sudah terjadi dengan luapan semangat membina politik bersih, dan membina negara kini?
Saya mendesak keras agar semua pihak untuk berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat mementingkan diri sendiri dan dengan agenda peribadi, sebaliknya biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan teliti, menyeluruh dan penuh profesional. – 17 Julai, 2019.
* Zuraida Kamarudin, naib presiden PKR.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen