Dr Ahmad Farouk dikehendaki jawab tuduhan bersubahat dengan Mustafa Akyol


Sheridan Mahavera

Pengerusi badan pemikir Islam progresif Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa dipanggil hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2017.

PENGERUSI badan pemikir Islam progresif Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa diperintahkan menjawab tuduhan beliau bersubahat dengan wartawan Turki, Mustafa Akyol dengan memberi forum agama tanpa tauliah di Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Ahmad Farouk dipanggil hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 Disember ini.

Tuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Syariah 1997 (Wilayah Persekutuan) membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Farouk memberitahu pemberita selepas dua jam memberikan kenyataan di ibu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur pagi tadi.

Perintah untuk hadir di mahkamah pada 4 Disember dimaklumkan dalam perintah bon daripada Jawi kepada Ahmad Farouk.

Pada 25 September, penulis dan wartawan Turki Mustafa Akyol ditahan atas arahan Jawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mustafa dibawa ke ibu pejabat Jawi untuk diambil keterangan berkaitan dakwaan memberi ceramah agama tanpa tauliah - satu kesalahan di bawah Seksyen 11, akta yang sama.

Sehari sebelum itu, Mustafa memberi ceramah bertajuk ” Does Freedom of Conscience Open the Floogates to Apostasy?” dalam forum anjuran IRF di Kuala Lumpur.

Pada hari Mustafa ditahan, Jawi mengeluarkan kenyataan mengatakan ia menyiasat Ahmad Farouk kerana bersubahat dengan Mustafa.

Mustafa dibebaskan tanpa dakwaan dan pulang ke Amerika Syarikat, di mana beliau berpangkalan di sana.

Ahmad Farouk berkata, ketika beliau disoal siasat tadi pegawai-pegawai Jawi tidak menyebut mengenai istilah ‘tauliah’.

Jawi hanya bertumpu kepada kerja-kerja IRF dan sebab-sebab forum itu diadakan, kata Ahmad Farouk.

“Mereka bertanyakan tentang pendirian saya tentang kebebasan beragama , jadi saya kata pendirian saya berdasarkan ayat dalam Al_Quran yang menyatakan tiada paksaan dalam agama,” katanya.

“Maknanya, ia adalah keputusan individu dan sepatutnya tiada paksaan dari mana-mana faktor luaran termasuk negeri.”

Pegawai-pegawai Jawi juga bertanya kepada Ahmad Farouk apa pandangannya tentang hukuman mati bagi kesalahan murtad, yang sudah pun dimulakan pihak berkuasa beberapa negara Islam.

Ahmad Farouk menjawab dengan memetik kata-kata dua ulama, seorang dari AS iaitu Taha Jabir Al-Awani, dan Mohamad Hashim Kamali dari Malaysia bagi menyokong pendiriannya mengatakan Al-Quran tidak menetapkan hukuman mati bagi kesalahan murtad.

Beliau juga memberitahu pegawai-pegawai Jawi bahwa selain Mustafa, forum yang membincangkan tentang murtad itu juga menjemput Dr Mohd Farid mohd Shahran dari Institut Pembangunan Islam (IKIM) dan Che Asmah Ibrahim dari NGO Islam, Ikram.

“Saya terangkan yang forum kami tidak mengajar orang ramai tentang agama atau menukar kepercayaan mereka tetapi ia adalah perbincangan intelektual mengenai permasalahan dalam Islam,” kata Ahmad Farouk. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen