RAKYAT perlu mengetahui ketulenan video seks sejenis didakwa memaparkan Haziq Abdullah Abdul Aziz serta dalang yang menyebarkan video tersebut, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Saya siasatan itu kita serah pada polis. Tapi ada dua fasa satu apakah sahih video itu dan kedua siapa yang sebarkan.
“Jadi rakyat biar tahu kedua-duanya,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau juga mempersoalkan mengapa hanya segelintir individu, termasuk Haziq, ditahan berhubung kes penyebaran video berkenaan.
“Itu proses polis tapi banyak orang persoal mengapa sebahagian (ditangkap) mengapa tidak, biar polis jawab,” katanya lagi.
Beliau mengulas mengenai bekas ketua Pemuda PKR Santubong yang ditahan reman enam hari kelmarin bersama lima anggota yang dipercayai anggota peringkat cabang parti reformasi itu.
Difahamkan mereka disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan bahan pornografi.
Semua dibawa ke Mahkamah Majistret di Jalan Duta pagi semalam untuk proses reman.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Sabtu berkata pegawainya sudah mengenal pasti dalang di sebalik penghasilan dan pengedaran video seks itu.
Hamid berkata ada kemungkinan ahli politik dan NGO terbabit dalam kes itu. – 16 Julai, 2019.
Komen