ENAM individu ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes video seks yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, menurut FreeMalaysiaToday.
Menurut laporan itu, antara yang direman ialah bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz dan pemimpin PKR peringkat bahagian di Selangor.
Mereka ditahan malam tadi.
Difahamkan mereka disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan bahan pornografi.
Semua dibawa ke Mahkamah Majistret di Jalan Duta pagi tadi untuk proses reman.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Sabtu berkata pegawainya sudah mengenal pasti dalang di sebalik penghasilan dan pengedaran video seks itu.
Hamid berkata ada kemungkinan ahli politik dan NGO terbabit dalam kes itu.
“Kami jumpa bukti konspirasi dan plot oleh pihak tertentu dalam menghasilkan dan mengedarkan video seks membabitkan seorang menteri untuk gulingkan seseorang,” katanya.
Beliau berkata sebaik saja siasatan lengkap, mereka yang terbabit akan ditahan.
Bulan lalu, beberapa klip video menunjukkan dua lelaki sedang melakukan aksi seks disebarkan di WhatsApp.
Haziq kemudian berkata beliau adalah salah seorang dalam video itu manakala Azmin pasangannya dalam rakaman itu.
Azmin menafikan tuduhan itu, mendakwa ia konspirasi untuk memusnahkan kariernya.
PKR kemudian memecat Haziq.
Haziq sebelum ini pernah ditahan dan dibebaskan. – 15 Julai, 2019.
Komen