Polis syariah Nigeria tahan lelaki kahwin di Facebook


Agensi penguatkuasaan Syariah di Nigeria menahan empat lelaki yang melakukan perkahwinan olok-olok menerusi Facebook. – Gambar fail AFP, 11 Julai, 2019.

EMPAT lelaki ditahan di Kano, utara Nigeria kerana dipercayai melakukan perkahwinan palsu di Facebook, di mana agensi penguatkuasaan Islam berkata perbuatan itu mengejek Islam.

Kano antara 12 negeri di utara Nigeria di mana undang-undang Syariah digunakan dan agensi penguatkuasaan Hisbah berkata perkahwinan seumpama itu dianggap mengejek institusi perkahwinan.

“Kami menahan empat lelaki kerana menganjurkan perkahwinan olok-olok di Facebook yang mencetuskan kemarahan orang ramai,” kata Ketua Hisbah Abba Sufi.

Empat suspek berusia antara 30 dan 32 tahun ditahan pada Selasa, beberapa hari selepas berita tersebar di mana salah seorang daripada mereka berkahwin dengan seorang wanita di Facebook dalam satu majlis disaksikan tiga yang lain, kata Sufi.

Pengantin lelaki Sanusi Abdullahi mengakui secara lawak menawarkan seorang rakan perempuan di Facebook yang tinggal di bandar Maiduguri untuk menjadi pengantinnya dengan harga 20,000 naira (AS$56) ketika “perkahwinan online” itu dengan syarat wang berkenaan dibayar apabila wanita itu berpindah masuk ke rumahnya.

Sufi berkata suspek tidak pernah berjumpa “pengantin perempuan” itu dan hanyalah kawan media sosial.

Insiden itu mencetuskan kemarahan ulama Islam yang radikal, mendesak penahanan dan pendakwaan dilakukan terhadap suspek. – AFP, 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen