Polis rampas lebih 100 senjata api tiruan di Perlis, tahan seorang lelaki


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG lelaki ditahan kerana menyeludup barang terlarang apabila lebih 100 senjata api tiruan ditemui di rumahnya di Perlis.

The Malaysian Insight difahamkan semua senjata tiruan itu dibawa masuk melalui pintu sempadan di Kedah dan Kelantan.

Sumber berkata, bertindak atas risikan sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis menyerbu sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit Perlis pada 4 Julai lalu.

“Hasil serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan menemui pelbagai senjata disyaki tiruan seperti pistol, rifle, senapang, aksesori senjata tiruan, dan juga amunisi kosong (blank bullet) serta amunisi getah (rubber bullet).

“Suspek didapati menjalankan perniagaan jual beli senjata tiruan sejak tahun 2016 dan pada mulanya, senjata-senjata tiruan diambil sendiri oleh suspek dari Hatyai dan Bangkok, Thailand untuk dijual di dalam negara.

“Bagaimanapun, selepas ditahan oleh Kastam pada tahun 2017, suspek mula berhenti dari mengambil barangan di Thailand sendirian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, akibat mudah mendapat senjata tiruan dari Thailand, suspek menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat transit senjata tiruan sebelum menjualnya kepada pembeli di Malaysia.

“Suspek juga akan menerima senjata tiruan ini melalui kurier dari dalam negara dan kebanyakan kurier tersebut diterima dari transit di Kelantan dan Kedah. 

“Senjata tiruan ini biasanya diseludup masuk melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah atau Rantau Panjang dan Sungai Golok di Kelantan.

“Suspek akan menerima komisen antara RM100 ke RM250 daripada sindiket bagi satu senjata tiruan yang dihantar kepada pembeli,” katanya.

Menurut sumber, antara senjata yang dirampas adalah Army R18 BK X3, C.55 Airsoft Gun, We Samurai Edge Ver2 F, Walther CZ P09 dan lain - lain bernilai RM85,000.

Katanya, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis.

Sebelum ini, dalam laporan eksklusif The Malaysian Insight, sekumpulan pegawai agensi kawalan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah sanggup membocorkan pintu masuk negara dengan imbuhan serendah RM10 untuk setiap bas ekspres dan van pelancong dari Thailand,

Imbuhan itu dipercayai untuk mengelak kenderaan mereka diperiksa dengan teliti. Gejala itu dipercayai antara punca kebocoran sempadan negara. – 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen